Friday, May 29, 2009

Orkid Merpati lagi

Pengunjung blog ini, Cik Puan Noraini, merupakan salah seorang peminat orkid yang boleh diklasifikasi sebagai tegar. Antara orkid yang beliau minati ialah Orkid Merpati.

Orkid Merpati tidak dijual di mana-mana nurseri yang beliau sering kunjungi. Sebagai peminat orkid yang menyukai Orkid Merpati, sumber yang beliau ada hanyalah blog Penggemar Orkid Malaysia. Lagi pun beberapa entri telah di tulis menceritakan tentang orkid ini.

Beliau meninggalkan pesanan di bahagian komen bagi entri ini, dengan menyertakan nombor telefon beliau (saya tidak siarkan komen beliau itu kerana tidak mahu mendedahkan nombor telefon beliau kepada umum, melainkan dengan keizinan beliau...) untuk saya hubungi.

Setelah menetapkan tarikh untuk bertemu hari ini, beliau datang ke Serdang untuk meminta supaya saya menunjukkan kepada beliau lokasi pokok yang ditumbuhi Orkid Merpati.

Akhirnya beliau mendapatkan beberapa sampel Orkid Merpati untuk beliau bawa pulang. Saya percaya beliau berpuas hati kerana segala usaha beliau akhirnya membuahkan hasil. Beliau telah mendapat keratan Orkid Merpati!

Untuk maklumat bersama, sukacita ditunjukkan di bawah ini beberapa cara menyemai sampel keratan orkid spesis ini.

Pasu plastik diisi dengan tanah dan sekeping papan dan pada papan ini dilekatkan bahagian akar Orkid Merpati. Setelah beberapa lama, Orkid Merpati tumbuh subur.

Raga bawang yang tidak digunakan lagi oleh isteri saya ini telah dilonggokkan dengan keratan Orkid Merpati. Sekarang sudah tumbuh subur, serta paku-pakis pun ada juga tumbuh di raga ini.

Keratan dahan kayu ini dilekatkan dengan lumut jenis moss, lalu dilekatkan dengan keratan Orkid Merpati. Akar orkid menjalar dan mencengkam pada moss dan dahan kayu. Sekarang kelihatan subur tumbuhnya Orkid Merpati ini.

Keratan Orkid Merpati yang dikumpulkan dalam raga plastik ini kurang subur, kerana tiada media yang disediakan.

Ini pula kelihatan keratan Orkid Merpati yang dilekatkan pada serpihan kayu yang dijumpai semasa kami mandi di sebuah sungai. Ia baru mulai belajar tumbuh dan akarnya belum mencengkam lagi.

4 comments:

Kunang-Kunang said...

Apa yang saya difahamkan bahawa orkid merpati ni berbunga setahun sekali. Tapi dengan baja-baja yang canggih ni tak ada benda yang mustahil.

Saya juga ada beberapa pasu orkid merpati ni. Sukakan keharumannya bila dia berbunga, tapi sayang hanya sekejap, paling lama sehari.

Imran Yusuf said...

Sdr Kak Hanim,

Sama-samalah kita membuat eksperimen dengan pelbagai baja, dan semoga kita berjaya membuat ia berbunga lebih daripada sekali dalam setahun.

Shida said...

Orkid merpati saya jarang berbunga lebat, cuma ada 2,3 kuntum jer...

Imran Yusuf said...

Sdr Shida,

Orkid merpati akan lebat bunganya apabila 'dahan' nya tumbuh panjang.

Oleh itu, jangan kita potong dahannya seperti kita buat pruning sesetengah tumbuhan lain.

Sdr boleh cuba siram dengan baja bunga yang boleh didapati di nurseri orkid. Selamat mencuba dan semoga berjaya.