Saturday, October 29, 2011

Triang Botanical Valley



Triang Botanical Valley atau TBV, begitulah nama pusat pemeliharaan tumbuhan persendirian, khususnya orkid, yang terletak berhampiran pekan Triang.

Triang adalah sebuah pekan kecil di Pahang yang terletak lebih kurang 160 kilometer dari Kuala Lumpur.

TBV dibangunkan dengan tekunnya oleh seorang penggemar orkid, Tuan Khairi Nordin. Beliau telah lama bergiat dalam bidang pemeliharaan orkid sehingga beliau telah menerbitkan buku mengenai penjagaan orkid yang berjudul 'Variasi Teknik Menanam dan Menjaga Orkid.'

Maklumat mengenai TBV boleh dibaca di blog beliau DI SINI.

Friday, April 16, 2010

Vanda dari Utara




Lebih kurang setahun yang lalu saya berkunjung ke rumah sahabat saya di Arau, Perlis.

Semasa di sana saya sempat membeli sepasu orkid jenis vanda. Kata penjual orkid itu benih orkid vanda ini berasal dari 'Utara' maksudnya diimport dari Thailand.

Setelah lama menunggu, kini bunga Vanda itu telah menunjukkan wajahnya.

Cantik...!!!

Dendrobium generasi 'kedua'



Apabila beberapa pasu orkid jenis Dendrobium yang saya beli dari nurseri telah habis hayatnya, saya mengeluarkannya dari pasu, tetapi tidak terus membuangnya.

Sebaliknya saya meletakkan di dalam sebuah pasu kosong yang diletak di bahagian redup 'kebun orkid' saya.

Ada yang tumbuh semula dan saya memasukkan 'orkid baru' itu ke dalam pasu yang diisi arang.

Beberapa hari yang lalu orkid baru itu berbunga.

Orkid inilah saya gelar orkid generasi kedua

Sunday, February 07, 2010

Cattleya berbunga lagi




Gembira hati tidak terkira melihat bunga cattleya yang berwarna purple ini.

Orkid ini asalnya dari keratan yang diberikan oleh emak kawan isteri saya. Atau dengan lain perkataan seorang makcik yang menjadi emak angkat isteri saya di kawasan perumahan kami ini.

Emak angkat isteri saya ini memang penggemar orkid. Beliau peminat tegar dan mempunyai formula tersendiri bagi menyuburkan orkid beliau.

Hendak tahu apakah formula beliau? Ya, beliau menyiram orkid dengan air basuhan ikan dan air basuhan beras. Hasilnya cukup memberangsangkan. Orkid beliau hidup subur, daunnya tebal dan lebat. Bunga orkid pun sentiasa keluar.

Namun bagi saya formula itu kurang sesuai untuk saya kerana orkid saya bergantungan dan apabila saya menyiram orkid saya dengan air basuhan beras dan ikan, air siraman terpercik ke atas kepala saya!

Sedangkan orkid beliau tidak digantung, sebaliknya di tanam dalam pasu dan diletak atas rak yang rendah. Formula itu amat berkesan untuk beliau.

Cara sesuai untuk saya? Untuk saya, apa lagi kalau tidak dengan semburan baja mikrob.

Sunday, January 24, 2010

Baja Mikrob BMG dan kesannya

Sempena entri pertama bagi tahun 2010 ini mari kita berkongsi maklumat tentang baja mikrob yang saya gunakan. Sayugia dimaklumkan bahawa saya tidak dibayar oleh pihak syarikat pengeluar baja ini untuk mempromosi produk mereka.

Ini sekadar berkongsi kesan pada orkid dan langsuyar saya selepas menggunakan sebotol baja ini. Sekarang sedang menggunakan baja ini dari botol yang kedua.

Lihat kesan pada orkid. Daun orkid cattleya ini hijau dan bertambah tebal.


Keratan orkid merpati yang saya 'letak' dalam botol plastik yang dipotong bahagian tepinya. Hijau dan subur.


Lihat pula daun langsuyar ini. Subur menghijau.


Pernah lihat botol satu liter bahan cecair ini?


Mari lihat secara lebih dekat. Inilah dia label pada botol baja mikrob jenis BMG.


Nota akhir: Saya beli baja ini dari sebuah gerai di pasar tani MAEPS, Serdang, Selangor@Tapak Expo MAHA, pada hari Sabtu.

Saturday, November 21, 2009

Kisah empat kuntum cattleya




Setelah menunggu begitu lama dan berkat kerajinan membaja dengan semburan baja organik jenis mikrob, akhirnya tumbuhlah empat kuntum bunga putih dari orkid cattleya ini.

Biar pun pasu ini sarat dengan dua jenis tumbuhan tumpang, iaitu paku pakis dan lang suyar, namun daun orkid yang sedia tebal menjadi semakin tebal dan galak sekali tumbuhnya cattleya kegemaran saya ini.

Bagi penghobi orkid tegar yang belum mencuba semburan baja organik jenis mikrob, saya mengesyorkan tuan-tuan dan puan-puan mencubanya.

Iri hati melihat bunga cattleya putih dalam gambar ini?

Usah tunggu sampai esok. Singgahlah di nurseri orkid berdekatan dan mintalah baja organik jenis mikrob.

Jangan percaya bulat-bulat apa yang saya tulis ini. Cuba dulu.

Saturday, October 31, 2009

Lagi-Lagi Orkid Merpati..



Selepas Hari Raya Idilfitri kad SD kamera digital saya diserang virus yang bernama Nadia Saphira.

Indah nama virus itu tetapi kesan terhadap kad SD kamera saya tidaklah seindah namanya!

Namun bukan boleh dijadikan alasan untuk tidak mengemas kini blog ini.

Namun rasa kecewa akibat serangan virus lebih terasa semalam apabila saya melihat Orkid Merpati saya berkembang, memutih dan segar mewangi.

Namun saya masih ada gambar yang pernah diambil dahulu.

Oleh itu saya paparkan di sini sempena entri pertama selepas Hari Raya Idlfitri 1430 Hijrah!

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Saturday, September 12, 2009

Cattleya berbunga akhirnya





Setelah menjaga orkid cattleya yang diberikan keratan pokokny aoleh seorang jiran, maka akhirnya ia berbunga juga.

Puas hati melihat bunga yang indah dan segar warnanya.

Cattleya, akhirnya kau berbunga jua...

Wednesday, August 19, 2009

Orkid merpati berkembang lagi




Terasa baru sahaja orkid merpati ini berbunga.

Kini berbunga lagi. Putih bersih dan harum semerbak. Namun sayangnya, mekarnya hanya sehari.

Apa pun orkid merpati tetap unggul dan menarik.

Baja organik mikrob yang mujarab

Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada para pembaca budiman kerana telah begitu lama saya menyepi dan blog ini tidak dikemaskini. Namun hari ini saya berkesempatan menyiarkan beberapa gambar orkid saya setelah disembur dengan larutan cairan baja organik mikrob.

Kini saya yakin baja mikrob jenis cairan yang kita larutkan dalam air bersih (air paip ditapis atau dibiarkan selama 24 jam sebelum digunakan) atau air hujan bakal memberikan nafas baru kepada tanaman kita.

Satu penutup (kap) cairan ini yang dilarutkan dalam satu liter air sudah memadai bagi menyembur kesemua orkid dan lain-lain tanaman di 'taman' sekangkang kera di depan rumah teres kawasan perumahan ini.

Mari kita lihat hasilnya:

Vanda yang dibeli di Arau, Perlis tempoh hari segar bugar dengan akar yang hijau.


Lihatlah pula keratan dendrobium yang tidak seberapa ini menghijau pekat.


Catlleya yang telah sedia subur menjadi bertambah subur dan menghijau. (Siapa ada anak langsuyar yang menumpang pula...


Cattleya yang hampir pupus mula kelihatan kembali bertumbuhan.

Monday, August 10, 2009

Orkid liar memang diminati ramai




Orkid liar memang disukai oleh majoriti peminat orkid.

Ini terbukti daripada poll yang saya anjurkan di blog ini. Daripada 42 orang yang mengundi, 26 orang, iaitu 50% menggemari orkid liar.

Orkid lain yang digemari ialah jenis Dendrobium dan Cattleya yang sama-sama menduduki tempat kedua dengan 15 undi, manakala orkid jenis Phalaenopsis menduduki tempat kelima dengan 14 undi.

Walau bagaimana pun, sebelum anda petik orkid liar, pastikan ia tidak termasuk dalam senarai spesis yang dilindungi.

Bagi saya orkid liar yang paling banyak dan paling mudah dijumpai ialah orkid merpati dan orkid buluh. Orkid merpati jenis yang menumpang di pokok lain, manakala orkid buluh ialah jenis yang tumbuh di tanah.

Wednesday, July 22, 2009

Mengintai orkid di Alor Gajah




Semasa menziarah anak saudara isteri saya di Alor Gajah, saya sempat mengintai orkid di hadapan rumahnya.

Orkid itu kelihatan seperti terbiar sahaja, tetapi nampaknya tumbuh subur, malah ada yang berbunga...!!!

Itulah hakikat orkid.

Friday, July 17, 2009

Intai orkid di Tanjong Agas lagi




Setiap kali kami menziarahi kawan kami yang tinggal di Tanjong Agas, saya mesti ambi gambar orkid.

Beliau seorang suri rumah tetapi ada kelulusan Institut Pertanian. Suaminya pun lulusan pertanian. Malah mereka bertemu jodoh pun di IPS...!!

Orkid dan tanaman mereka memang subur. Macam-macam ada: nenas, rambutan, limau kasturi, nangka, sukun dan juga orkid.

Wednesday, July 15, 2009

Gambar orkid MamaSha



Seorang pengunjung setia blog ini, Puan MamaSha, telah mengirimkan kepada saya beberapa keping gambar orkid beliau yang katanya, sedang berbunga katanya.

Tiga tahun yang lalu beliau membeli orkid, tetapi melakukan kesilapan teknik apabila beliau terus menggunakan arang tanpa direndam terlebih dahulu.

Walau bagaimana pun suami beliau terus memberi galakan supaya meneruskan hobi menggemari orkid.

Semasa bertandang ke rumah rakan sepejabat, beliau dihadiahkan 4 keratan orkid dendrobium dan sepasu orkid oncidim oleh rakannya itu.

Beliau telah melayari internet untuk mencari maklumat tentang penjagaan orkid. Antara blog yang beliau singgahi ialah blog Penggemar Orkid Malaysia ini.

Antara aktiviti menarik yang akan datang yang telah beliau rancang ialah lawatan ke sebuah ladang orkid terkenal di Kulim, Kedah.

Semoga Puan MamaSha terus bersemangat sebagai penggemar orkid dan semoga bergembira dengan "lawatan sambil memborong orkid" di Kulim.

Apa aktiviti orkid menarik anda?

Monday, July 13, 2009

Cattleya kiriman Puan MamaSha



Seorang pengunjung setia blog ini telah mengirimkan beberapa keping gambar orkid beliau yang sedang berbunga.

Beliau adalah seorang penggemar orkid yang tegar dan telah berkecimpung dalam hobi memelihara orkid ini sejak tiga tahun yang lalu.

Baca kisah menarik yang beliau ceritakan sendiri melalui emel kepada saya.

Nantikan kemunculan kisah beliau dalam entri yang akan datang!

Baja yang saya guna



Ada pelbagai jenis baja untuk pelbagai jenis tumbuhan. Baja untuk orkid juga ada berbagai-bagi jenis.

Secara umumnya saya ingin mengkelaskan baja kepada dua kategori, iaitu baja kimia dan baja organik.

Baja kimia atau baja urea adalah produk sampingan dari industri minyak petroleum. Apabila minyak mentah melalui proses yang dipanggil penapisan (refining) pelbagai bahan api yang diperolehi, dari bahapi yang dipanggil Jet-A1, petrol untuk kereta dan disel untuk kenderaan berat hingga minyak tar dan pelbagai bahan kimia termasuk urea. Tanyalah rakan atau saudara mara kita yang bekerja dalam industri minyak, tentu mereka dapat memberi butiran yang lebih terperinci.

Sebaliknya, baja organik pula didapati dengan memproses bahan organik seperti tahi lembu, tahi ayam dan tahi kambing, tahi cacing, mikrob, kompos dan lain-lain lagi.

Tanyalah para saintis yang tidak berkepentingan, maka mereka akan mengakui bahawa baja organik lebih selamat digunakan dan lebih memberikan hasil yang lebih lumayan.

Malah kebanyakan negara di dunia pun sudah mengiktiraf Perjanjian Kyoto Protocol, yang mensasarkan produk yang lebih mesra alam digunakan oleh semua pihak di dunia.

Kita akan berbincang dengan lebih mendalam lagi mengenai baja pertanian tidak lama lagi.

Gambar di atas menunjukkan baja yang saya gunakan menyiram tumbuhan orkid. Baja yang berwarna biru/hijau itu ialah baja bunga, manakala yang berwarna kelabu/pink ialah baja daun.

Selepas ini saya berhasrat menggunakan baja organik mikrob pula. Itu pun kalau saya dapat menghubungi seorang kawan yang menjadi pengedar baja itu.

Saturday, July 11, 2009

Orkid Tanjong Agas





Pada hujung minggu yang lalu kami berkesempatan menziarahi seorang kawan lama isteri saya di Tanjong Agas.

Antara yang menarik perhatian saya ialah beberapa pohon orkid beliau sedang berkembang mekar.

Wednesday, July 08, 2009

Berhujung Minggu Di Arau



Pada hujung minggu yang lalu saya telah berada di utara tanah air untuk menghantar anak saya kembali ke UiTM Pulau Pinang kerana semester ketiga beliau yang bermula hari Isnin (kelmarin).

Selepas itu saya berkesempatan menziarahi seorang sahabat lama saya di Arau. Beliau sudah berbelas tahun bermastautin di sana dan bertugas sebagai salah seorang tenaga pengajar di UiTM Perlis.

Antara tumbuhan yang menarik yang saya temui di sekitar rumah beliau ialah sepasu orkid yang kelihatan tidak diambil peduli, tetapi masih lagi mahu berbunga.

Mungkin itulah satu daripada ciri orkid - jika tidak terlalu dimanjakan, ia akan berbunga dengan lebih kerap!

Thursday, June 25, 2009

Mari tanam Langsuyar!

Langsuyar adalah antara jenis paku-pakis yang mudah tumbuh. Langsuyar tumbuh di mana sahaja.

Lihat bagaimana langsuyar tumbuh di tepi pasu orkid saya.

Anak langsuyar boleh dipindahkan ke pasu kecil yang diisi dengan moss. Moss ini adalah antara medium penanaman yang baik kerana ciri-ciri kelembapannya.

Apabila anak langsuyar semakin membesar, kita boleh pindahkan ke pasu yang lebih besar. Berikan ruang secukupnya anak langsuyar membesar. Pasu yang diperbuat daripada tanah memang sesuai untuk langsuyar.

Pasu plastik pun sesuai juga.

Perhatikan anak langsuyar ini semakin membesar dalam pasu plastik ini.

Langsuyar dalam pasu plastik ini kelihatan cantik apabila digantung.

Langsuyar ini sudah membesar dan telah dipindahkan ke dahan pokok mangga. Kucing ini anak saya telah berikan dia nama Mocha. Dia memang suka 'menyibuk' apabila saya mengambil gambar langsuyar atau orkid. He! He! He!