Saturday, October 29, 2011

Triang Botanical Valley



Triang Botanical Valley atau TBV, begitulah nama pusat pemeliharaan tumbuhan persendirian, khususnya orkid, yang terletak berhampiran pekan Triang.

Triang adalah sebuah pekan kecil di Pahang yang terletak lebih kurang 160 kilometer dari Kuala Lumpur.

TBV dibangunkan dengan tekunnya oleh seorang penggemar orkid, Tuan Khairi Nordin. Beliau telah lama bergiat dalam bidang pemeliharaan orkid sehingga beliau telah menerbitkan buku mengenai penjagaan orkid yang berjudul 'Variasi Teknik Menanam dan Menjaga Orkid.'

Maklumat mengenai TBV boleh dibaca di blog beliau DI SINI.

Friday, April 16, 2010

Vanda dari Utara




Lebih kurang setahun yang lalu saya berkunjung ke rumah sahabat saya di Arau, Perlis.

Semasa di sana saya sempat membeli sepasu orkid jenis vanda. Kata penjual orkid itu benih orkid vanda ini berasal dari 'Utara' maksudnya diimport dari Thailand.

Setelah lama menunggu, kini bunga Vanda itu telah menunjukkan wajahnya.

Cantik...!!!

Dendrobium generasi 'kedua'



Apabila beberapa pasu orkid jenis Dendrobium yang saya beli dari nurseri telah habis hayatnya, saya mengeluarkannya dari pasu, tetapi tidak terus membuangnya.

Sebaliknya saya meletakkan di dalam sebuah pasu kosong yang diletak di bahagian redup 'kebun orkid' saya.

Ada yang tumbuh semula dan saya memasukkan 'orkid baru' itu ke dalam pasu yang diisi arang.

Beberapa hari yang lalu orkid baru itu berbunga.

Orkid inilah saya gelar orkid generasi kedua

Sunday, February 07, 2010

Cattleya berbunga lagi




Gembira hati tidak terkira melihat bunga cattleya yang berwarna purple ini.

Orkid ini asalnya dari keratan yang diberikan oleh emak kawan isteri saya. Atau dengan lain perkataan seorang makcik yang menjadi emak angkat isteri saya di kawasan perumahan kami ini.

Emak angkat isteri saya ini memang penggemar orkid. Beliau peminat tegar dan mempunyai formula tersendiri bagi menyuburkan orkid beliau.

Hendak tahu apakah formula beliau? Ya, beliau menyiram orkid dengan air basuhan ikan dan air basuhan beras. Hasilnya cukup memberangsangkan. Orkid beliau hidup subur, daunnya tebal dan lebat. Bunga orkid pun sentiasa keluar.

Namun bagi saya formula itu kurang sesuai untuk saya kerana orkid saya bergantungan dan apabila saya menyiram orkid saya dengan air basuhan beras dan ikan, air siraman terpercik ke atas kepala saya!

Sedangkan orkid beliau tidak digantung, sebaliknya di tanam dalam pasu dan diletak atas rak yang rendah. Formula itu amat berkesan untuk beliau.

Cara sesuai untuk saya? Untuk saya, apa lagi kalau tidak dengan semburan baja mikrob.

Sunday, January 24, 2010

Baja Mikrob BMG dan kesannya

Sempena entri pertama bagi tahun 2010 ini mari kita berkongsi maklumat tentang baja mikrob yang saya gunakan. Sayugia dimaklumkan bahawa saya tidak dibayar oleh pihak syarikat pengeluar baja ini untuk mempromosi produk mereka.

Ini sekadar berkongsi kesan pada orkid dan langsuyar saya selepas menggunakan sebotol baja ini. Sekarang sedang menggunakan baja ini dari botol yang kedua.

Lihat kesan pada orkid. Daun orkid cattleya ini hijau dan bertambah tebal.


Keratan orkid merpati yang saya 'letak' dalam botol plastik yang dipotong bahagian tepinya. Hijau dan subur.


Lihat pula daun langsuyar ini. Subur menghijau.


Pernah lihat botol satu liter bahan cecair ini?


Mari lihat secara lebih dekat. Inilah dia label pada botol baja mikrob jenis BMG.


Nota akhir: Saya beli baja ini dari sebuah gerai di pasar tani MAEPS, Serdang, Selangor@Tapak Expo MAHA, pada hari Sabtu.

Saturday, November 21, 2009

Kisah empat kuntum cattleya




Setelah menunggu begitu lama dan berkat kerajinan membaja dengan semburan baja organik jenis mikrob, akhirnya tumbuhlah empat kuntum bunga putih dari orkid cattleya ini.

Biar pun pasu ini sarat dengan dua jenis tumbuhan tumpang, iaitu paku pakis dan lang suyar, namun daun orkid yang sedia tebal menjadi semakin tebal dan galak sekali tumbuhnya cattleya kegemaran saya ini.

Bagi penghobi orkid tegar yang belum mencuba semburan baja organik jenis mikrob, saya mengesyorkan tuan-tuan dan puan-puan mencubanya.

Iri hati melihat bunga cattleya putih dalam gambar ini?

Usah tunggu sampai esok. Singgahlah di nurseri orkid berdekatan dan mintalah baja organik jenis mikrob.

Jangan percaya bulat-bulat apa yang saya tulis ini. Cuba dulu.

Saturday, October 31, 2009

Lagi-Lagi Orkid Merpati..



Selepas Hari Raya Idilfitri kad SD kamera digital saya diserang virus yang bernama Nadia Saphira.

Indah nama virus itu tetapi kesan terhadap kad SD kamera saya tidaklah seindah namanya!

Namun bukan boleh dijadikan alasan untuk tidak mengemas kini blog ini.

Namun rasa kecewa akibat serangan virus lebih terasa semalam apabila saya melihat Orkid Merpati saya berkembang, memutih dan segar mewangi.

Namun saya masih ada gambar yang pernah diambil dahulu.

Oleh itu saya paparkan di sini sempena entri pertama selepas Hari Raya Idlfitri 1430 Hijrah!

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.