Wednesday, June 25, 2008

Ujian tanam orkid





Setelah berlalu masa selama beberapa tahun, saya telah kurangkan kunjungan ke nursery orkid dan gerai serta pameran orkid. Dengan lain perkataan sudah melepasi fasa 'beli dan beli lagi' dan telah memasuki fasa 'jaga dan uji' pula.

Biasanya yang dijadikan bahan ujian ialah orkid dari spesis liar dan batang orkid lama yang baru bertunas.

Orkid yang saya ambil dari atas pokok berdekatan dengan rumah saya masukkan ke dalam raga kayu, tunas baru jenis dendrobium pula saya letak di dalam 'kontena' yang diperbuat daripada buah kelapa yang ditebuk di bahagian atasnya.

Selain daripada itu ada juga orkid liar yang saya ikatkan di sebatang keratan dahan pokok yang telah dilekatkan dengan moss yang lazim digunakan untuk menanam orkid jenis butterfly.

Setakat ini saya dapati orkid liar yang dibiarkan tumbuh di dalam raga kayu dan yang dilekatkan di keratan dahan kayu tumbuh agak subur. Akan tetapi orkid dendrobium yang ditanam dalam kelapa kurang subur, walau pun kerap saya siram dengan air basuhan beras dan air darah ikan.

Wednesday, June 04, 2008

Cattleya hijau kekuningan yang indah





Aduhai orkid
Cattleya hijau kekuningan
Indahmu tak terkira
Suka hatiku tak terkata
Kembanglah bungaku kembanglah
dan terus mewangi
Dan menghiasi
Taman hatiku

Monday, May 19, 2008

Cattleya sudah mekar



Cattleya sudah mengeluarkan bunga.

Akan tetapi saya terlupa orkid ini dibeli di mana. Kami pernah membeli orkid jenis cattleya di Cameron Highlands dan Serendah. Selepas beberapa bula apabila orkid sudah tumbuh memenuhi pasu, saya pindahkan ke pasu lain, tanpa menulis label atau apa-apa tanda.

Apa pun, kami masih dapat menikmati keindahannya.

Sunday, April 06, 2008

Orkid Cattleya Baru Berbunga





Bunga orkid cattleya warna putih bercampur ungu ini sungguh menarik. Siapa yang memandangnya pasti terpesona.

Orkid putih tetap menarik

Friday, April 04, 2008

DAFFODIL DARI DARFUR







Walau pun tiada bunga orkid atau daffodil yang saya temui semasa saya berpetualang di Sudan untuk menjalankan tugas syarikat tidak berapa lama dahulu, namun demi memenuhi tema blog orkid dan taman ini, saya beri judul yang menimbulkan tanda tanya ini.

Oleh kerana tugas saya pada ketika itu sedikit banyak melibatkan agensi UN untuk menghantar bantuan makanan ke Wilayah Darfur, Sudan, maka setiap sedikit sebanyak pengalaman itu tetap menjadi ingatan yang mendalam.

Setiap kali saya melihat bunga-bunga orkid dan tumbuhan taman yang menghijau, saya terkenangkan ketandusan sebahagian besar negara Sudan diliputi padang pasir. Tetapi di Wilayah Selatan Sudan, iklim tropika membuatkan tumbuhan tumbuh subur menghijau. Kebanyakan wilayah di sebelah tengah dan utara, iklim padang pasir menjadikan negara terbesar benua Afrika itu kering kontang.

Setiap kali saya melihat kebun, pepohon hijau, terutama orkid saya terkenangkan padang pasir Sudan yang kering tandus.

Tetapi untuk rekod gambar bunga kertas berwarna pink itu bukan bunga di belakang rumah di kampung di Malaysia, tetapi di taman di sebuah R & R, di tepi lebuhraya dari Khartoum ke El-Obeid, Sudan!

Tuesday, January 01, 2008

Kebun orkid saya yang sering "berubah wajah"




Sejak saya mula berminat dengan orkid, bahagian hadapan rumah teres saya sentiasa 'berubah wajah' dan tidak pernah kekal lama susun-aturnya.

Manakan hendak kekal sekejap-sekejap ada tambahan. Hari ini disusun begini. Esok susun begitu. Minggu depan tambah pula satu pasu orkid baru yang di beli dari nurseri.

Pantang ada kelapangan di hujung minggu atau cuti umum, kami akan berkunjung ke nurseri atau pusat pamiran orkid. Kalau tidak beli sepasu dua orkid pun, ada sahaja peralatan atau 'aksesori' untuk orkid atau yang berkaitan dengan penjagaan orkid dibeli.

Ada pasu plastik, isteri saya tebuk lubang buat pasu cattleya. Lepas itu beliau buat raga kayu untuk diletakkan vanda. Kadang-kala saya pula yang memanjat pokok untuk mengambil orkid liar.

Alih pasu, gantung pasu, tukar pasu, bersihkan kawasan orkid. Memang ada sahaja 'alasan' yang digunakan untuk orkid.

Saya perlu selalu ambil gambar kawasan kebun saya setiap kali ada perubahan ketara pada susunan pasu-pasu dan raga yang bergantungan.

Begitulah 'kegiatan orkid' kami suami isteri.

Saturday, December 29, 2007

Pakis tanduk rusa




Dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur, saya singgah di sebuah nurseri di tepi jalan besar berhampiran Tanjung Malim.

Di situ kami dapati beberapa jenis orkid hybrid dan spesis. Terdapat juga pokok pakis tanduk rusa dan beberapa tumbuhan lagi.

Yang menariknya kesemua pakis tanduk rusa itu hampir sama sahaja saiznya. Jadi tidak mungkin pihak nurseri mengambilnya dari hutan atau yang tumbuh meliar, sebaliknya ia ditanam melalui penumbuhan dari spora pakis itu.

Saya ada rancangan untuk bercuti ke Kuala Rompin di waktu cuti sekolah pada tahun 2008. Mungkin kami berpeluang membeli pakis tanduk rusa yang dijula oleh orang Asli di dalam perjalanan dari Muadzam Shah ke Kuala Rompin.

Tetapi memandangkan sudah bertemu di Tanjong Malim dan harganya berpatutan pula, maka saya beli lah satu.