Saturday, November 21, 2009

Kisah empat kuntum cattleya




Setelah menunggu begitu lama dan berkat kerajinan membaja dengan semburan baja organik jenis mikrob, akhirnya tumbuhlah empat kuntum bunga putih dari orkid cattleya ini.

Biar pun pasu ini sarat dengan dua jenis tumbuhan tumpang, iaitu paku pakis dan lang suyar, namun daun orkid yang sedia tebal menjadi semakin tebal dan galak sekali tumbuhnya cattleya kegemaran saya ini.

Bagi penghobi orkid tegar yang belum mencuba semburan baja organik jenis mikrob, saya mengesyorkan tuan-tuan dan puan-puan mencubanya.

Iri hati melihat bunga cattleya putih dalam gambar ini?

Usah tunggu sampai esok. Singgahlah di nurseri orkid berdekatan dan mintalah baja organik jenis mikrob.

Jangan percaya bulat-bulat apa yang saya tulis ini. Cuba dulu.

Saturday, October 31, 2009

Lagi-Lagi Orkid Merpati..



Selepas Hari Raya Idilfitri kad SD kamera digital saya diserang virus yang bernama Nadia Saphira.

Indah nama virus itu tetapi kesan terhadap kad SD kamera saya tidaklah seindah namanya!

Namun bukan boleh dijadikan alasan untuk tidak mengemas kini blog ini.

Namun rasa kecewa akibat serangan virus lebih terasa semalam apabila saya melihat Orkid Merpati saya berkembang, memutih dan segar mewangi.

Namun saya masih ada gambar yang pernah diambil dahulu.

Oleh itu saya paparkan di sini sempena entri pertama selepas Hari Raya Idlfitri 1430 Hijrah!

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya

Saya ingin mengambil kesempatan ini bagi mengucapkan:

SELAMAT HARI RAYA IDIL-FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
serta
BRHATI-HATI DI JALAN RAYA

kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini.

Saturday, September 12, 2009

Cattleya berbunga akhirnya





Setelah menjaga orkid cattleya yang diberikan keratan pokokny aoleh seorang jiran, maka akhirnya ia berbunga juga.

Puas hati melihat bunga yang indah dan segar warnanya.

Cattleya, akhirnya kau berbunga jua...

Wednesday, August 19, 2009

Orkid merpati berkembang lagi




Terasa baru sahaja orkid merpati ini berbunga.

Kini berbunga lagi. Putih bersih dan harum semerbak. Namun sayangnya, mekarnya hanya sehari.

Apa pun orkid merpati tetap unggul dan menarik.

Baja organik mikrob yang mujarab

Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada para pembaca budiman kerana telah begitu lama saya menyepi dan blog ini tidak dikemaskini. Namun hari ini saya berkesempatan menyiarkan beberapa gambar orkid saya setelah disembur dengan larutan cairan baja organik mikrob.

Kini saya yakin baja mikrob jenis cairan yang kita larutkan dalam air bersih (air paip ditapis atau dibiarkan selama 24 jam sebelum digunakan) atau air hujan bakal memberikan nafas baru kepada tanaman kita.

Satu penutup (kap) cairan ini yang dilarutkan dalam satu liter air sudah memadai bagi menyembur kesemua orkid dan lain-lain tanaman di 'taman' sekangkang kera di depan rumah teres kawasan perumahan ini.

Mari kita lihat hasilnya:

Vanda yang dibeli di Arau, Perlis tempoh hari segar bugar dengan akar yang hijau.


Lihatlah pula keratan dendrobium yang tidak seberapa ini menghijau pekat.


Catlleya yang telah sedia subur menjadi bertambah subur dan menghijau. (Siapa ada anak langsuyar yang menumpang pula...


Cattleya yang hampir pupus mula kelihatan kembali bertumbuhan.

Monday, August 10, 2009

Orkid liar memang diminati ramai




Orkid liar memang disukai oleh majoriti peminat orkid.

Ini terbukti daripada poll yang saya anjurkan di blog ini. Daripada 42 orang yang mengundi, 26 orang, iaitu 50% menggemari orkid liar.

Orkid lain yang digemari ialah jenis Dendrobium dan Cattleya yang sama-sama menduduki tempat kedua dengan 15 undi, manakala orkid jenis Phalaenopsis menduduki tempat kelima dengan 14 undi.

Walau bagaimana pun, sebelum anda petik orkid liar, pastikan ia tidak termasuk dalam senarai spesis yang dilindungi.

Bagi saya orkid liar yang paling banyak dan paling mudah dijumpai ialah orkid merpati dan orkid buluh. Orkid merpati jenis yang menumpang di pokok lain, manakala orkid buluh ialah jenis yang tumbuh di tanah.

Wednesday, July 22, 2009

Mengintai orkid di Alor Gajah




Semasa menziarah anak saudara isteri saya di Alor Gajah, saya sempat mengintai orkid di hadapan rumahnya.

Orkid itu kelihatan seperti terbiar sahaja, tetapi nampaknya tumbuh subur, malah ada yang berbunga...!!!

Itulah hakikat orkid.

Friday, July 17, 2009

Intai orkid di Tanjong Agas lagi




Setiap kali kami menziarahi kawan kami yang tinggal di Tanjong Agas, saya mesti ambi gambar orkid.

Beliau seorang suri rumah tetapi ada kelulusan Institut Pertanian. Suaminya pun lulusan pertanian. Malah mereka bertemu jodoh pun di IPS...!!

Orkid dan tanaman mereka memang subur. Macam-macam ada: nenas, rambutan, limau kasturi, nangka, sukun dan juga orkid.

Wednesday, July 15, 2009

Gambar orkid MamaSha



Seorang pengunjung setia blog ini, Puan MamaSha, telah mengirimkan kepada saya beberapa keping gambar orkid beliau yang katanya, sedang berbunga katanya.

Tiga tahun yang lalu beliau membeli orkid, tetapi melakukan kesilapan teknik apabila beliau terus menggunakan arang tanpa direndam terlebih dahulu.

Walau bagaimana pun suami beliau terus memberi galakan supaya meneruskan hobi menggemari orkid.

Semasa bertandang ke rumah rakan sepejabat, beliau dihadiahkan 4 keratan orkid dendrobium dan sepasu orkid oncidim oleh rakannya itu.

Beliau telah melayari internet untuk mencari maklumat tentang penjagaan orkid. Antara blog yang beliau singgahi ialah blog Penggemar Orkid Malaysia ini.

Antara aktiviti menarik yang akan datang yang telah beliau rancang ialah lawatan ke sebuah ladang orkid terkenal di Kulim, Kedah.

Semoga Puan MamaSha terus bersemangat sebagai penggemar orkid dan semoga bergembira dengan "lawatan sambil memborong orkid" di Kulim.

Apa aktiviti orkid menarik anda?

Monday, July 13, 2009

Cattleya kiriman Puan MamaSha



Seorang pengunjung setia blog ini telah mengirimkan beberapa keping gambar orkid beliau yang sedang berbunga.

Beliau adalah seorang penggemar orkid yang tegar dan telah berkecimpung dalam hobi memelihara orkid ini sejak tiga tahun yang lalu.

Baca kisah menarik yang beliau ceritakan sendiri melalui emel kepada saya.

Nantikan kemunculan kisah beliau dalam entri yang akan datang!

Baja yang saya guna



Ada pelbagai jenis baja untuk pelbagai jenis tumbuhan. Baja untuk orkid juga ada berbagai-bagi jenis.

Secara umumnya saya ingin mengkelaskan baja kepada dua kategori, iaitu baja kimia dan baja organik.

Baja kimia atau baja urea adalah produk sampingan dari industri minyak petroleum. Apabila minyak mentah melalui proses yang dipanggil penapisan (refining) pelbagai bahan api yang diperolehi, dari bahapi yang dipanggil Jet-A1, petrol untuk kereta dan disel untuk kenderaan berat hingga minyak tar dan pelbagai bahan kimia termasuk urea. Tanyalah rakan atau saudara mara kita yang bekerja dalam industri minyak, tentu mereka dapat memberi butiran yang lebih terperinci.

Sebaliknya, baja organik pula didapati dengan memproses bahan organik seperti tahi lembu, tahi ayam dan tahi kambing, tahi cacing, mikrob, kompos dan lain-lain lagi.

Tanyalah para saintis yang tidak berkepentingan, maka mereka akan mengakui bahawa baja organik lebih selamat digunakan dan lebih memberikan hasil yang lebih lumayan.

Malah kebanyakan negara di dunia pun sudah mengiktiraf Perjanjian Kyoto Protocol, yang mensasarkan produk yang lebih mesra alam digunakan oleh semua pihak di dunia.

Kita akan berbincang dengan lebih mendalam lagi mengenai baja pertanian tidak lama lagi.

Gambar di atas menunjukkan baja yang saya gunakan menyiram tumbuhan orkid. Baja yang berwarna biru/hijau itu ialah baja bunga, manakala yang berwarna kelabu/pink ialah baja daun.

Selepas ini saya berhasrat menggunakan baja organik mikrob pula. Itu pun kalau saya dapat menghubungi seorang kawan yang menjadi pengedar baja itu.

Saturday, July 11, 2009

Orkid Tanjong Agas





Pada hujung minggu yang lalu kami berkesempatan menziarahi seorang kawan lama isteri saya di Tanjong Agas.

Antara yang menarik perhatian saya ialah beberapa pohon orkid beliau sedang berkembang mekar.

Wednesday, July 08, 2009

Berhujung Minggu Di Arau



Pada hujung minggu yang lalu saya telah berada di utara tanah air untuk menghantar anak saya kembali ke UiTM Pulau Pinang kerana semester ketiga beliau yang bermula hari Isnin (kelmarin).

Selepas itu saya berkesempatan menziarahi seorang sahabat lama saya di Arau. Beliau sudah berbelas tahun bermastautin di sana dan bertugas sebagai salah seorang tenaga pengajar di UiTM Perlis.

Antara tumbuhan yang menarik yang saya temui di sekitar rumah beliau ialah sepasu orkid yang kelihatan tidak diambil peduli, tetapi masih lagi mahu berbunga.

Mungkin itulah satu daripada ciri orkid - jika tidak terlalu dimanjakan, ia akan berbunga dengan lebih kerap!

Thursday, June 25, 2009

Mari tanam Langsuyar!

Langsuyar adalah antara jenis paku-pakis yang mudah tumbuh. Langsuyar tumbuh di mana sahaja.

Lihat bagaimana langsuyar tumbuh di tepi pasu orkid saya.

Anak langsuyar boleh dipindahkan ke pasu kecil yang diisi dengan moss. Moss ini adalah antara medium penanaman yang baik kerana ciri-ciri kelembapannya.

Apabila anak langsuyar semakin membesar, kita boleh pindahkan ke pasu yang lebih besar. Berikan ruang secukupnya anak langsuyar membesar. Pasu yang diperbuat daripada tanah memang sesuai untuk langsuyar.

Pasu plastik pun sesuai juga.

Perhatikan anak langsuyar ini semakin membesar dalam pasu plastik ini.

Langsuyar dalam pasu plastik ini kelihatan cantik apabila digantung.

Langsuyar ini sudah membesar dan telah dipindahkan ke dahan pokok mangga. Kucing ini anak saya telah berikan dia nama Mocha. Dia memang suka 'menyibuk' apabila saya mengambil gambar langsuyar atau orkid. He! He! He!

Saturday, June 20, 2009

Orkid cattleya yang kecil bunganya



Orkid ini adalah antara orkid yang saya beli dari nurseri orkid, tetapi saya sudah lupa di mana nurseri itu.

Saya pun sudah lupa tarikh orkid itu dibeli.

Orkid ini kerap berbunga, walau pun kecil sahaja bunganya.

Pada suatu pagi saya lihat pasu orkid ini telah terjatuh dan pecah berkecai. Bukan kerana angkara kucing saya yang nakal itu, tetapi kerana paku yang dijadikan tempat orkid ini digantung, telah terkeluar dari tempatnya.

Ada dua atau pasu orkid yang saya gantung pada paku yang sama. Orkid yang satu lagi ditanam dalam pasu plastik, manakala satu lagi ditanam dalam raga kayu. Ringan sahaja dua pasu yang lain itu, jadi tidak pecah sekadar cedera sedikit orkidnya.

Kini orkid ini telah saya tanam semula dalam dua pasu plastik.

Monday, June 08, 2009

Langsuyar, kucing dan orkid


Anak langsuyar ini tumbuh dari benih spora yang berasal dari bahagian bawah daun langsuyar. Ditanam semula dalam pasu kecil yang berisi moss yang lembab.



Ini kucing saya yang bernama Mocha (Moka). Ia sering 'mengacau' serta 'menyibuk' apabila saya membelek atau menyusun pasu orkid atau pun mengemas kawasan 'taman orkid' saya.










Ini gambar bunga orkid yang tidak berapa jelas focus, maklumlah saya tidak guna digital SLR untuk merakamkan gambar ini.

Saturday, June 06, 2009

Senduduk kampung




Sempena musim cuti sekolah saya ingin berehat seketika dari membuat posting mengenai orkid.

Di atas ialah gambar bunga senduduk yang saya rakamkan semasa bercuti di kampung isteri saya di Melaka.

Senduduk ialah sejenis bunga yang tumbuh meliar di pinggiran kampung, di tepi-tepi lebuh raya, serta di merata hutan dan belukar.

Saya masih ingat semasa zaman kana-kanak dulu kami sering makan buah senduduk ini sehinggakan meninggalkan kesan kehitaman pada gigi.

Sungguh nostalgic kenangan ini!

Friday, May 29, 2009

Orkid Merpati lagi

Pengunjung blog ini, Cik Puan Noraini, merupakan salah seorang peminat orkid yang boleh diklasifikasi sebagai tegar. Antara orkid yang beliau minati ialah Orkid Merpati.

Orkid Merpati tidak dijual di mana-mana nurseri yang beliau sering kunjungi. Sebagai peminat orkid yang menyukai Orkid Merpati, sumber yang beliau ada hanyalah blog Penggemar Orkid Malaysia. Lagi pun beberapa entri telah di tulis menceritakan tentang orkid ini.

Beliau meninggalkan pesanan di bahagian komen bagi entri ini, dengan menyertakan nombor telefon beliau (saya tidak siarkan komen beliau itu kerana tidak mahu mendedahkan nombor telefon beliau kepada umum, melainkan dengan keizinan beliau...) untuk saya hubungi.

Setelah menetapkan tarikh untuk bertemu hari ini, beliau datang ke Serdang untuk meminta supaya saya menunjukkan kepada beliau lokasi pokok yang ditumbuhi Orkid Merpati.

Akhirnya beliau mendapatkan beberapa sampel Orkid Merpati untuk beliau bawa pulang. Saya percaya beliau berpuas hati kerana segala usaha beliau akhirnya membuahkan hasil. Beliau telah mendapat keratan Orkid Merpati!

Untuk maklumat bersama, sukacita ditunjukkan di bawah ini beberapa cara menyemai sampel keratan orkid spesis ini.

Pasu plastik diisi dengan tanah dan sekeping papan dan pada papan ini dilekatkan bahagian akar Orkid Merpati. Setelah beberapa lama, Orkid Merpati tumbuh subur.

Raga bawang yang tidak digunakan lagi oleh isteri saya ini telah dilonggokkan dengan keratan Orkid Merpati. Sekarang sudah tumbuh subur, serta paku-pakis pun ada juga tumbuh di raga ini.

Keratan dahan kayu ini dilekatkan dengan lumut jenis moss, lalu dilekatkan dengan keratan Orkid Merpati. Akar orkid menjalar dan mencengkam pada moss dan dahan kayu. Sekarang kelihatan subur tumbuhnya Orkid Merpati ini.

Keratan Orkid Merpati yang dikumpulkan dalam raga plastik ini kurang subur, kerana tiada media yang disediakan.

Ini pula kelihatan keratan Orkid Merpati yang dilekatkan pada serpihan kayu yang dijumpai semasa kami mandi di sebuah sungai. Ia baru mulai belajar tumbuh dan akarnya belum mencengkam lagi.

Friday, May 22, 2009

Orkid Merpati Putih Berbunga

Baru dua hari lepas saya berbicara tentang Orkid Merpati yang saya tunggu-tunngu waktunya berbunga.

Rupa-rupanya hari ini bunga-bunga Orkid Merpati itu berkembang mekar dan memutih.

Indah dan cantik, senang mata memandang. Lihatlah...!



Wednesday, May 20, 2009

Cattleya kecil putih purple



Cattleya ini berbunga lagi. Kecil sahaja bunganya tetapi harum semerbak setelah bunga itu mekar selama beberapa hari.

Sehelai daripada daun kelihatan telah dipotong, kerana telah menjadi hitam akibat penyakit kulat setelah hujan renyai.

Inilah tip yang boleh dikongsi bersama: pertama, apabila hujan turun renyai-renyai, eloklah kita jirus dengan air bersih bagi mengelakkan daunnya menjadi hitam akibat terkena asid atau ditumbuhi kulat; dan kedua sebaik sahaja kelihatan sebahagian daripada daun menjadi hitam akibat serangan penyakit, jangan potong kesemua daun itu, tetapi potong bahagian yang hitam itu, semoga daun itu selamat kelak dan masih boleh berguna meneruskan proses fotosintesis untuk kebaikan orkid itu.

Menanti orkid merpati berbunga



Beberapa unit Orkid Merpati telah saya semai dalam beberapa jenis kontena.

Ada yang dilekatkan pada sepotong kayu dengan moss, manakala kayu itu ditebuk lubang untuk diikat dengan dawai keras.

Ada pula yang diletak dalam pasu plastik yang telah dilekatkan dengan papan, kemudian papan itu dipaku dan ditebuk lubang bagi diletkkan cangkuk dawai juga.

Malah ada juga yang ditanam dalam raga kayu, yang mana raga kayu itu pula saya masukkan ke dalam raga plastik dan digantung dengan cangkuk dawai.

Dalam gambar di atas kelihatan tiga unit orkid merpati yang digantung pada hujung beranda yang dibina khas untuk menggantung beberapa pasu orkid dan langsuyar yang sedia ada.

Kini saya menanti orkid merpati berbunga. Tentunya harum semerbak bunga merpati akan harum semerbak dan putih bersih menghiasi jambangan ini.

Saturday, May 16, 2009

Mengintai langsuyar

Langsuyar ialah tumbuhan dari jenis spesis tidak berbunga, iaitu mengikut klasifikasi sama seperti paku-pakis.

Saya tertarik dengan susunan daunnya yang berlapis-lapis dan apabila tumbuh subur pada pangkal pokoknya terdapat sejenis sponge.

Ketika mula-mula meminati langsuyar dahulu, saya sering singgah memungut tumbuhan ini yang didapati tumbuh meliar di tepi jalan.

Sekarang langsuyar sudah banyak di taman bunga saya. Oleh kerana banyak yang tumbuh di pasu orkid yang bersebelahan dengannya, maka saya pindahkan ke pasunya yang tersendiri.


Langsuyar yang satu ini masih belum lagi dipindahkan ke pasu lain, dan masih menumpang di tepian pasu orkid!