Friday, December 14, 2007

Fasa Dalam Hobi Orkid



Orkid memang mengasyikkan, lebih-lebih lagi apabila bunganya kembang mekar indah berwarna-warni.

Memang apabila dalam fasa "beli, beli dan beli lagi" tentu sahaja bunga-bunga orkid memenuhi kawasan taman orkid di depan rumah. Namun apabila masa berlalu beberapa bulan bunga orkid sudah gugur semuanya, ketika itu taman orkid itu 'sunyi sepi' dan tidak meriah.

Bebagailah cara yang digunakan bagi membungakan orkid, tetapi hampa belaka, malah ada juga orkid yang mati. Ada juga ketika itu yang mengeluarkan tunas baru.

Tunas baru di semai dalam pasu juga, tetapi mati akhirnya. Pasu-pasu kosong bertambah kerana dikosongkan oleh orkid yang mati.

Ketika itulah penggemar orkid akan mencari maklumat di mana-mana sahaja yang difikirkan dapat membantu. Kalau pergi ke nurseri orkid lagi, tidak mustahil akan membeli orkid yang baru.

Tetapi apabila tiba fasa poket 'bocor' akibat beberapa keperluan kewangan yang lebih mendesak maka niat berkunjung ke kedai orkid terpaksalah ditangguh.

Buku-buku dan majalah yang ada maklumat orkid akan dikumpulkan. Untung juga di zaman siber ini, internet menjanjikan dunia tanpa sempadan, malah maklumat yang bertalu-talu malah sampai berlebihan.

Mulalah juga saya membina blog orkid ini.

Fasa 'beli, beli dan beli' berlalu diikuti dengan fasa 'cari, baca dan rawat' menyusul selepas itu.

Saya percaya sekiranya penjual orkid yang membekalkan ordid kepada para penggemar mengetahui fasa-fasa ini tentulah hanya dari kalangan mereka yang dulunya penggemar juga.

Keseronokan menikmati bau orkid cattleya yang berpuluh-puluh pasu, kembang serentak merupakan suatu pengalaman yang memang tidak mungkin dilupakan.

(bersambung)

Thursday, December 13, 2007

Hobi Orkid 'Berfasa'?




Setiap orang memulai hobi meminati orkid akan mengalami suatu proses perubahan.

Perubahan yang maksudkan ialah dari segi perjalanan sikap, tindakan serta aktiviti yang melibatkan orkid. Saya kata begini berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Saya sudah lama gemar kepada orkid, tetapi sekadar gemar melihat gambar orkid. Saya pun pernah berbual-bual dengan isteri saya mengenai orkid.

Pada suatu hari isteri saya menemani kawannya ke nurseri orkid di Mantin. Dia membeli beberapa pasu orkid. Saya gembira melihat orkid itu.

Sejak itulah hobi orkid kami bermula.

Kami telah mengunjungi beberapa nurseri orkid di sekitar Lembah Kelang dan Negri Sembilan. Kemudian kami melalui 'proses kumpul' orkid. Ya,. beli dan beli lagi.

Bila dah penuh pasu-pasu orkid di depan rumah teres kami yang terhad itu mulalah memikirkan tentang menaiktaraf beranda kepada pondok orkid.

Kami mengupah tukang kayu untuk memasang beberapa kayu 'broti' dan plastik hitam supaya orkid tidak kena sinaran direct cahaya mentari.

Siap saja 'pondok' orkid itu kami pasang paku dan membeli dawai untuk menggantungkan pasu-pasu bunga.

Bila ada orkid yag dibeli bercambah, kami semai dalam pasu lain. Selepas minat orkid, kami mula diversify. Suatu hari semasa ke Janda Baik saya singgah di tepi jalan untuk memungut orkid liar yang tumbuh di tebing jalan raya.

Apabila mengunjungi pak cik saya di Maran Pahang, beliau telah memberikan pokok langsuir yang tumbuh rendah di dahan pokok durian.

Beberapa hari lepas saya telah memungut beberapa pokok periuk kera dari tepi sebuah lebuhraya.

Saya percaya pengalaman saya ini tidak unik, kerana tentunya ada penggemar orkid yang mengalami perkara yang sama.

(...bersambung...)

Tuesday, December 11, 2007

Forum OPM



Forum Orchids and Plants Malaysia (OPM) ialah sebuah forum yang diwujudkan oleh beberapa orang peminat orkid di Malaysia.

Saya baru menyertai forum OPM dan telah mendapat beberapa manafaat seperti maklumat tentang orkid dan tumbuh-tumbuhan yang lain dan juga mula membina rangkaian rakan-rakan di kalangan peminat orkid.

Sebenarnya forum orkid begitu banyak yang dapat ditemui dalam internet, namun hampir semua forum itu diasakan oleh orang luar negera. Maka kandungan dan maklumat orkid yang diisi dalam forum itu mengikut budaya masyarakat itu.

Jadi OPM mengisi keperluan berforum di kalangan peminat orkid tanah air. Setakat ini sudah lebih 20 orang ahli yang telah menyertai OPM. Saya percaya ramai lagi akan menyertainya.

Hidup OPM!

Saturday, December 08, 2007

Orkid di pokok




Antara kegemaran saya ialah mengambil orkid liar yang tumbuh di pokok-pokok yang berdekatan jalan raya.

Pernah satu ketika saya memanjat pokok dalam kawasan sebuah hospital di Kuala Lumpur semata-mata untuk mengambil orkid yang tumbuh di atas pokok itu.

Saya bawa pulang dan meletakkannya di dalam pasu serta raga kayu.

Dalam gambar di atas menunjukkan orkid jenis liar yang bebas tumbuh di sebatang pokok di tepi jalan.

Orkid Mambau Lagi




Dalam gambar di atas menunjukkan Orkid Rimau dan sejenis lagi orkid liar yang saya tidak pasti namanya lagi.

Semasa berkunjung ke nurseri orkid di Mambau, saya tertarik dengan berbagai jenis orkid liar yang ada di situ.

Mengikut kata isteri Encik Richard Tan, tuan punya nurseri itu, ada orkid yang dijual dan ada juga yang tidak dijual kerana mereka masih menjalankan kajian 'orkid kahwin', ertinya mereka membuat orkid hybrid.

Gambar 'Orkid Rimau' di atas, adalah dipercayai sebagai orkid yang terbesar di antara spesis orkid yang wujud.

Orkid Rimau yang bukan hybrid dikatakan berbunga hanya selepas lapan tahun. Ertinya sekiranya kita membeli orkid itu ketika anak kita berumur satu tahun, maka apabila anak kita itu bersekolah dalam darjah dua barulah orkid itu mengeluarkan bunga.

Tetapi Orkid Rimau jenis hybrid pula mengambil masa hanya tiga tahun untuk berbunga.

Semoga kita masih lagi meminati orkid selepas tiga tahun. Kalau tidak, maka tak sempatlah kita melihat Orkid Rimau itu berbunga!

Wednesday, December 05, 2007

Orkid di Mantin



Orkid ini saya ambil gambarnya di sebuah nurseri di Mantin. Saya percaya Alycia tentu tahu tempat ini.

Nurseri agak besar dan terletak di jalan lama antara pekan Mantin menuju ke Seremban. Banyak orkid jenis dendrobium yang ditanam untuk di ekspot bunga serta benihnya.

Sudah lama saya tidak berkunjung ke sini - mungkin hampir dua tahun!

Monday, December 03, 2007

Orkid Liar




Apabila melihat orkid hutan/liar atau nama lain bagi orkid jenis ini ialah orkid bukan hybrid, hanya mereka yang 'fanatik' terhadap orkid liar sahaja yang dapat menilai keseronokannya.

Maklum sahajalah, orkid hybrid tahan lama bunganya, sedangkan orkid bukan hybrid tidak lama bunganya berkembang. Sekejap sangat.

Tapi tanyalah mereka yang sukakan orkid bukan hybrid. Tentu satu hari suntuk dia bercerita tentang orkid hutan, masih lagi dia bercerita, tidak habis-habis....!

Sunday, December 02, 2007

Orkid Butterfly Putih





Sebagaimana yang diwar-warkan oleh Alycia di OAPM,
saya telah berkunjung ke nurseri orkid yag terletak di pinggiran pekan Mambau.

Saya hanya membeli sepasu orkid Butterfly (lihat gambar). Sungguh menarik nurseri ini sekali pandang seperti berselerak dan tidak dijaga. Tetapi apabila saya berhenti dan melihat sekeliling kawasan nurseri barulah nampak berbagai jenis orkid Butterfly yang dijual. Sememangnya orkid ini disemai dari benih yang baik.

Selain itu pihak nurseri juga mempamirkan berbagai jenis orkid liar atau orkid hutan (bukan hybrid), yang paling banyak yang pernah saya lihat di nurseri yang pernah saya kunjungi sejak bergiat dengan 'hobi' ini.

Saya sertakan gambar papan tanda nurseri ini sekiranya ada yang berminat berkunjung ke sana.

Saya akan post lagi beberapa gambar yang saya ambil di sana.