Saturday, April 25, 2009
Butterfly diintai
Sudah lebih dua minggu, namun bunganya masih kelihatan segar dan utuh.
Tidak perlu diletak dalam rumah kaca yang berhawa dingin pun. Malah diletak di beranda rumah teres kawasan perumahan pinggir bandar.
Cuaca panas sejak kebelakangan ini pun masih belum dapat melayukan bunga ini.
Cantik kan, butterfly ini?
Labels:
Butterfly
Monday, April 20, 2009
Menunggu cattleya putih
Telah beberapa lama orkid cattleya saya yang ini tidak mengeluarkan bunga.
Bunganya yang berwarna putih dalam gambar ini ialah bunga dahulu. Sekarang masih belum berbunga.
Daunnya memang lebat, apatah lagi apabila saya taburkan baja organik dari tahi cacing yang saya beli dari Parkman Agro di Banting dulu.
Saya masih menunggu bunganya.
Berapa lama akan saya tunggu? Belum pasti.
Kalau tidak keluar bunga juga, adakah saya akan membuangnya ke dalam tong sampah? Tidak mungkin, kerana saya sukakan daunnya yang banyak dan subur. Masanya akan tiba apabila saya letakkan baja bunga berkali-kali, insya Allah, akan keluar juga bunganya.
Cattleya putih, aku masih menunggu.
Labels:
Cattleya putih
Monday, April 13, 2009
Nostalgia Vanda
Kalau cattleya menarik kerana bunganya yang besar, maka vanda pula menarik kerana bunganya yang cantik dan tahan lama.
Bagi saya, vanda berwarna biru dan ungu adalah vanda yang paling saya sukai, walau pun yang berwarna kekuningan dan berbelang tidak kurang juga daya penariknya.
Dikatakan orkid jenis terdapat lebih kurang 50 spesis vanda di seluruh dunia, dan tumbuh di India, Himalaya, Asia Tenggara, Indonesia, Filipina, New Guinea, selatan China and utara Australia.
Antara laman web yang memberikan panduan berguna tentang penjagaan orkid jenis vanda adalah DI SINI.
Labels:
orkid vanda,
Vanda Orchid
Saturday, April 04, 2009
Mencari Vanilla (7 - Akhir)
Saya sedar kami tidak mungkin akan bertemu dengan Koko, Aiskerim Soda, Putih dan Vanilla lagi.
Yang tinggal hanyalah Mocha.
Saya mungkin akan terus mencari Vanilla atau kucing yang semirip dengannya. Akan tetapi buat masa ini, Mocha ialah satu-satunya keturunan Putih. Putih, kucing yang datang entah dari mana, dan beranak sebanyak tiga kali beranak di rumah kami. Kini Putih pun hilang entah ke mana.
Vanilla ialah sejenis orkid. Vanilla juga salah satu dari perasa ais kerim.
Akan tetapi yang paling saya kenang ialah Vanilla, kucing kami yang putih bulunya dan kemerah-merahan hidungnya. Kucing manja yang kami sayangi yang sudah menghilang.
Menghilang tidak kembali lagi. Semoga kau hidup bahagia, Vanilla, walau pun di mana kau berada.
Apa pun, saya akan terus mencari Vanilla.
(Tamat kisah "Mencari Vanilla" - Terima kasih kerana sudi membaca)
Labels:
Mencari Vanilla
Mencari Vanilla (6)
Setelah kematian Koko dan perginya Putih dan Aiskerim Soda dan tidak pulang-pulang, tinggallah Vanilla dan Mocha.
Vanilla dan Mocha semakin membesar. Vanilla berbulu putih. Hidungnya kemerah-merahan. Mocha suka mengiau, manakala Vanilla senyap tetapi manja.
Ahmad Naim suka Mocha, manakala saya dan Imah lebih sukakan Vanilla.
Namun kegembiraan kami dengan kucing-kucing itu tidak lama.
Pada suatu hari hujan turun dengan lebatnya. Apabila hujan telah reda Vanilla pula sudah hilang. Semasa memberi makan kucing pada waktu petang, Vanilla masih tidak pulang.
Kali ini kami terpaksa menerima hakikat bahawa, kucing kami yang comel dan manja yang bernama Vanilla sudah hilang. Hilang tidak kembali lagi.
Tinggallah Mocha.
(Besambung...)
Labels:
Mencari Vanilla
Mencari Vanilla (5)
Tinggallah Putih dengan Moca, Aiskerim Soda dan Vanilla. Ketiga-tiga anak kucing itu semakin membesar.
Pada suatu hari petang ketika memberi makan kucing, Putih dan Aiskerim soda tidak pulang-pulang.
Kami menunggu kepulangan kucing dua beranak itu dengan penuh harapan. Esok, lusa dan hari-hari selepas itu.
Namun hampa belaka.
Akhirnya terpaksalah kami menerima hakikat bahawa Putih dan Aiskerim Soda tidak akan pulang lagi.
(Bersambung...)
Labels:
Mencari Vanilla
Mencari Vanilla (4)
Berbalik kita kepada cerita Putih, kucing entah dari mana, yang datang dan beranak di rumah saya.
Kali ketiga Putih beranak, anaknya ialah empat ekor.
Saya menjaganya dengan mengurung Putih dan anak-anaknya dalam sangkar. Setiap hari saya membersihkan sangkar dua tiga kali.
Setelah anak-anak Putih sesuai dilepaskan, saya lepaskan anak-anak kucing itu bersama ibunya. Sekadar waktu malam dikurung di dalam sangkar.
Anak saya, Ahmad Naim memberikan nama kepada anak-anak kucing itu: Moca, Aiskerim Soda, Koko dan Vanilla.
Saya gembira sungguh melihat empat ekor anak-anak kucing itu menyusu. Ahmad Naim lagi gembira.
Namun kegembiraan kami itu tidak lama.
Koko mati tergelek tayar kereta kerana ia lari dari emaknya, semasa anak saya, Hanif memandu kereta keluar dari depan rumah saya.
Pada hari yang malang itu, Hanif menanam bangkai Koko, manakala Naim dan kakaknya menangisi kematian Koko.
Keluarga saya bersedih pada hari itu.
(Bersambung...)
Labels:
Mencari Vanilla
Friday, April 03, 2009
Mencari Vanilla (3)
Apabila kita makan ais krim perasa vanilla mungkin terlintas di fikiran kita dari mana asalnya vanilla ini.
Bagi penggemar orkid mungkin perkara ini sudah tidak menjadi rahsia lagi. Perasa vanilla asalnya dari orkid jenis vanilla.
Pokok dan bunga orkid seperti gambar di entri ini adalah salah satu daripada berbagai jenis orkid vanilla.
(Bersambung...)
Labels:
Mencari Vanilla
Mencari Vanilla (2)
Kucing itu kami namakan dia Putih.
Ketiga-tiga ekor anaknya itu mati: dua ekor mati digigit kucing hitam kami yang kami panggil Lego, dan seekor mati tertindih oleh barang-barang dalam almari tempat Putih menyembunyikan anak-anaknya itu.
Walau pun semua anaknya mati, Putih masih terus tinggal di rumah kami.
Tidak lama selepas itu Putih mengandung lagi dan tidak lama selepas itu Putih melahirkan dua ekor anak kucing.
Saya mengurung Putih serta dua ekor anaknya itu dalam sangkar. Terpaksalah saya membersihkan sangkar itu dua atau tiga kali sehari serta memberi makan Putih serta anaknya dalam sangkar itu.
Anak saya, Ahmad Naim menamakan anak kucing itu Sarah dan Ridhuan. Kami sangat sayangkan anak kucing itu.
Sayangnya tidak lama selepas itu Sarah dan Ridhuan keluar rumah dan tidak pulang-pulang.
(Bersambung...)
Labels:
Mencari Vanilla
Mencari Vanilla (1)
Pada suatu hari, seekor kucing yang belum pernah saya jumpai telah masuk ke rumah saya dan terus duduk di ribaan saya.
"Miau! miau!" kucing itu terus mengiau-ngiau.
Saya perhatikan perutnya buncit dan melendut. Fikir saya, "Kucing hendak beranak agaknya."
Malam itu saya meletakkan kucing itu di beranda di luar rumah.
"Ayah, kucing itu beranak!" kata anak saya yang baru berumur enam tahun.
Begitulah kucing ini datang ke rumah saya. Tidak sampai sehari setelah berada di rumah saya kucing itu melahirkan tiga ekor anak.
(Bersambung...)
Labels:
Mencari Vanilla
Subscribe to:
Posts (Atom)