Tuesday, January 01, 2008

Kebun orkid saya yang sering "berubah wajah"




Sejak saya mula berminat dengan orkid, bahagian hadapan rumah teres saya sentiasa 'berubah wajah' dan tidak pernah kekal lama susun-aturnya.

Manakan hendak kekal sekejap-sekejap ada tambahan. Hari ini disusun begini. Esok susun begitu. Minggu depan tambah pula satu pasu orkid baru yang di beli dari nurseri.

Pantang ada kelapangan di hujung minggu atau cuti umum, kami akan berkunjung ke nurseri atau pusat pamiran orkid. Kalau tidak beli sepasu dua orkid pun, ada sahaja peralatan atau 'aksesori' untuk orkid atau yang berkaitan dengan penjagaan orkid dibeli.

Ada pasu plastik, isteri saya tebuk lubang buat pasu cattleya. Lepas itu beliau buat raga kayu untuk diletakkan vanda. Kadang-kala saya pula yang memanjat pokok untuk mengambil orkid liar.

Alih pasu, gantung pasu, tukar pasu, bersihkan kawasan orkid. Memang ada sahaja 'alasan' yang digunakan untuk orkid.

Saya perlu selalu ambil gambar kawasan kebun saya setiap kali ada perubahan ketara pada susunan pasu-pasu dan raga yang bergantungan.

Begitulah 'kegiatan orkid' kami suami isteri.