Saturday, December 29, 2007

Pakis tanduk rusa




Dalam perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur, saya singgah di sebuah nurseri di tepi jalan besar berhampiran Tanjung Malim.

Di situ kami dapati beberapa jenis orkid hybrid dan spesis. Terdapat juga pokok pakis tanduk rusa dan beberapa tumbuhan lagi.

Yang menariknya kesemua pakis tanduk rusa itu hampir sama sahaja saiznya. Jadi tidak mungkin pihak nurseri mengambilnya dari hutan atau yang tumbuh meliar, sebaliknya ia ditanam melalui penumbuhan dari spora pakis itu.

Saya ada rancangan untuk bercuti ke Kuala Rompin di waktu cuti sekolah pada tahun 2008. Mungkin kami berpeluang membeli pakis tanduk rusa yang dijula oleh orang Asli di dalam perjalanan dari Muadzam Shah ke Kuala Rompin.

Tetapi memandangkan sudah bertemu di Tanjong Malim dan harganya berpatutan pula, maka saya beli lah satu.

Thursday, December 27, 2007

Periuk kera serikan kumpulan orkid




Selain orkid, saya juga suka melihat tumbuhan periuk kera.

Gambar ini saya ambil setelah beberapa hari saya petik tumbuhan ini dari tepi sebuah lebuhraya di Selangor.

Tumbuhan ini termasuk dalam kategori tumbuhan 'carniverous', ertinya ia menjadikan haiwan dari kalangan serangga sebagai makanan.

Antara ciri yang unik pada tumbuhan periuk kera ini ialah 'periuk'nya. Dikatakan apabila ia cukup nutrien, maka ia tumbuh subur dan apabila subur semakin banyak daun tumbuh. Semakin banyak daun yang tumbuh, semakin banyak pula periuknya.

Dalam Forum OPM ada beberapa orang ahli OPM yang mengumpul tumbuhan jenis ini. Semua koleksi mereka saya dapati menarik sekali.

Semasa saya masih kanak-kanak dulu saya biasa melihat tumbuhan periuk kera ini di tepi sawah di kampung saya. Ketika itu tidak pernah mengambil dan meletakkannya dalam pasu, sebab dah 'biasa' dengan tumbuhan itu.

Tapi kini bila sudah lama menetap di pinggir bandar, semakin suka pula mengumpul tunbuhan yang dulunya saya tidak pedulikan pun.

Monday, December 24, 2007

Cattleya hijau yang menawan hati




Ketika kami mula bergiat dengan 'hobi menggemar orkid' saya dan isteri saya mengunjungi salah sebuah nurseri orkid yang terletak berhampiran lapangan terbang Subang.

Lapangan terbang yang sibuk dahulu sudah menjadi lengang dan sunyi kecuali beberapa kapal terbang mendarat dan berlepas, itu pun pada waktu tertentu jarang dapat dilihat.

Namun dari segi hobi orkid jalan antara Subang Airport dan Sungai Buloh menjanjikan pemandangan orkid yang begitu banyak kerana wujud berbelas-belas nurseri orkid di sepanjang jalan tersebut.

Kami tertarik dengan dua pasu orkid jenis cattleya yang bunganya berwarna hijau. Kami membelinya dan membawanya pulang dengan hati yang gembira. Ketika itu musim hujan melanda dan orkid itu terdedah kepada air hujan tanpa apa-apa penjagaan. Itu ialah kerana kami belum tahu akan mudarat air hujan kepada orkid.

Bunga yang hijau dan cantik itu menjadi layu selepas dihinggapi bintik-bintik hitam. Banyak daun yang menjadi hitam dan busuk.

Saya segera memindahkan pokok orkid itu ke pasu plastik yang isteri saya buat lubang dengan menggunakan besi panas yang digunakan untuk menghiris pasu plastik itu untuk ditebuk lubang.

Nasib baiklah pokok orkid itu berjaya diselamatkan. Beberapa daun baru tumbuh. Proses itu memakan masa berbulan-bulan.

Alhamdulillah, minggu lepas bunga orkid hijau itu kembang setelah kami menunggu lebih setahun.

Sunday, December 23, 2007

Orkid liar yang mempesonakan




Selain dari mengutip beberapa pokok orkid liar ini, saya juga mengambil gambar sebagai rekod dan kenangan.

Ini juga bagi merakamkan keadaan serta suasana sekeliling tempat orkid itu ditemui. Selain dapat mengingati pemandangan sekitar orkid itu, saya juga dapat meneliti keadaan bagaimanakah yang sesuai untuk orkid liar ini tumbuh.

Fakta seperti jenis pokok yang tumbuh di sekitar orkid, saya juga ambil kira rupa muka bumi sama ada tepi hutan, belukar, keadaan berpaya atau kawasan berpasir. Dengan memerhati keadaan itu, saya dapat meneka tempat yang bagaimana saya akan mudah temui orkid liar ini.

Selalunya orkid jenis seperti lalang ini tumbuh di kawasan yang lembab, dingin di malam hari dan senang mendapat cahaya matahari. Dia tumbuh di atas tanah atau lereng bukit, malah di lereng tepi lebuhraya pun ada juga. Tumbuhan sekeliling ialah paku pakis, semalu, senduduk dan lalang.

Semasa berkunjung ke Cameron Highlands saya dapati ia banyak tumbuh meliar di lereng-lereng jalan raya dari Tanah Rata sehingga ke Kampong Raja. Walau pun tumbuh dengan subur dan meliar di kawasan tanah tinggi dan dingin seperti Cameron Highlands dan Lebuhraya Karak, ia juga boleh hidup di kawasan perumahan di Lembah Kelang.

Ia kerap berbunga dan seronok dipandang apabila bunganya kembang.

Mengutip orkid liar




Di bulan Disember dan awal bulan Januari hujan selalu turun, bahkan di pantai timur Semenanjung Malaysia, ketika ini dikenali sebagai musim tengkujuh kerana hujan turun dengan banyak dan menyebabkan banjir.

Di waktu ini juga kegiatan menjaga orkid saya dapati agak rumit kerana beberapa pasu orkid akan terkena penyakit daun atau batang kehitaman malah ada yang mati.

Kami telah bersetuju bulan musim hujan dijadikan bulan kegiatan memungut orkid liar. Maka dengan sendirinya kegiatan menambah atau membeli orkid hybrid yang baru ditangguhkan buat sementara.

Ini ialah untuk mengelakkan daripada membeli orkid hybrid dan selepas itu pokok itu mati, jadi membazir sahaja akhirnya.

Orkid liar menjadi tumpuan. Mengutip orkid liar bererti mencari orkid di lereng bukit atau di atas pokok. Saya sering mengutip orkid liar di tepi Lebuhraya Karak dan di tepi jalan ke Kampung Janda Baik, Bentung.

Saya suka orkid liar, tetapi isteri saya lebih menyukai orkid hybrid kerana katanya orkid hybrid lebih tahan lama bunganya.

Begitulah kegiatan orkid kami di bulan musim hujan ini.

Friday, December 14, 2007

Fasa Dalam Hobi Orkid



Orkid memang mengasyikkan, lebih-lebih lagi apabila bunganya kembang mekar indah berwarna-warni.

Memang apabila dalam fasa "beli, beli dan beli lagi" tentu sahaja bunga-bunga orkid memenuhi kawasan taman orkid di depan rumah. Namun apabila masa berlalu beberapa bulan bunga orkid sudah gugur semuanya, ketika itu taman orkid itu 'sunyi sepi' dan tidak meriah.

Bebagailah cara yang digunakan bagi membungakan orkid, tetapi hampa belaka, malah ada juga orkid yang mati. Ada juga ketika itu yang mengeluarkan tunas baru.

Tunas baru di semai dalam pasu juga, tetapi mati akhirnya. Pasu-pasu kosong bertambah kerana dikosongkan oleh orkid yang mati.

Ketika itulah penggemar orkid akan mencari maklumat di mana-mana sahaja yang difikirkan dapat membantu. Kalau pergi ke nurseri orkid lagi, tidak mustahil akan membeli orkid yang baru.

Tetapi apabila tiba fasa poket 'bocor' akibat beberapa keperluan kewangan yang lebih mendesak maka niat berkunjung ke kedai orkid terpaksalah ditangguh.

Buku-buku dan majalah yang ada maklumat orkid akan dikumpulkan. Untung juga di zaman siber ini, internet menjanjikan dunia tanpa sempadan, malah maklumat yang bertalu-talu malah sampai berlebihan.

Mulalah juga saya membina blog orkid ini.

Fasa 'beli, beli dan beli' berlalu diikuti dengan fasa 'cari, baca dan rawat' menyusul selepas itu.

Saya percaya sekiranya penjual orkid yang membekalkan ordid kepada para penggemar mengetahui fasa-fasa ini tentulah hanya dari kalangan mereka yang dulunya penggemar juga.

Keseronokan menikmati bau orkid cattleya yang berpuluh-puluh pasu, kembang serentak merupakan suatu pengalaman yang memang tidak mungkin dilupakan.

(bersambung)

Thursday, December 13, 2007

Hobi Orkid 'Berfasa'?




Setiap orang memulai hobi meminati orkid akan mengalami suatu proses perubahan.

Perubahan yang maksudkan ialah dari segi perjalanan sikap, tindakan serta aktiviti yang melibatkan orkid. Saya kata begini berdasarkan pengalaman saya sendiri.

Saya sudah lama gemar kepada orkid, tetapi sekadar gemar melihat gambar orkid. Saya pun pernah berbual-bual dengan isteri saya mengenai orkid.

Pada suatu hari isteri saya menemani kawannya ke nurseri orkid di Mantin. Dia membeli beberapa pasu orkid. Saya gembira melihat orkid itu.

Sejak itulah hobi orkid kami bermula.

Kami telah mengunjungi beberapa nurseri orkid di sekitar Lembah Kelang dan Negri Sembilan. Kemudian kami melalui 'proses kumpul' orkid. Ya,. beli dan beli lagi.

Bila dah penuh pasu-pasu orkid di depan rumah teres kami yang terhad itu mulalah memikirkan tentang menaiktaraf beranda kepada pondok orkid.

Kami mengupah tukang kayu untuk memasang beberapa kayu 'broti' dan plastik hitam supaya orkid tidak kena sinaran direct cahaya mentari.

Siap saja 'pondok' orkid itu kami pasang paku dan membeli dawai untuk menggantungkan pasu-pasu bunga.

Bila ada orkid yag dibeli bercambah, kami semai dalam pasu lain. Selepas minat orkid, kami mula diversify. Suatu hari semasa ke Janda Baik saya singgah di tepi jalan untuk memungut orkid liar yang tumbuh di tebing jalan raya.

Apabila mengunjungi pak cik saya di Maran Pahang, beliau telah memberikan pokok langsuir yang tumbuh rendah di dahan pokok durian.

Beberapa hari lepas saya telah memungut beberapa pokok periuk kera dari tepi sebuah lebuhraya.

Saya percaya pengalaman saya ini tidak unik, kerana tentunya ada penggemar orkid yang mengalami perkara yang sama.

(...bersambung...)

Tuesday, December 11, 2007

Forum OPM



Forum Orchids and Plants Malaysia (OPM) ialah sebuah forum yang diwujudkan oleh beberapa orang peminat orkid di Malaysia.

Saya baru menyertai forum OPM dan telah mendapat beberapa manafaat seperti maklumat tentang orkid dan tumbuh-tumbuhan yang lain dan juga mula membina rangkaian rakan-rakan di kalangan peminat orkid.

Sebenarnya forum orkid begitu banyak yang dapat ditemui dalam internet, namun hampir semua forum itu diasakan oleh orang luar negera. Maka kandungan dan maklumat orkid yang diisi dalam forum itu mengikut budaya masyarakat itu.

Jadi OPM mengisi keperluan berforum di kalangan peminat orkid tanah air. Setakat ini sudah lebih 20 orang ahli yang telah menyertai OPM. Saya percaya ramai lagi akan menyertainya.

Hidup OPM!

Saturday, December 08, 2007

Orkid di pokok




Antara kegemaran saya ialah mengambil orkid liar yang tumbuh di pokok-pokok yang berdekatan jalan raya.

Pernah satu ketika saya memanjat pokok dalam kawasan sebuah hospital di Kuala Lumpur semata-mata untuk mengambil orkid yang tumbuh di atas pokok itu.

Saya bawa pulang dan meletakkannya di dalam pasu serta raga kayu.

Dalam gambar di atas menunjukkan orkid jenis liar yang bebas tumbuh di sebatang pokok di tepi jalan.

Orkid Mambau Lagi




Dalam gambar di atas menunjukkan Orkid Rimau dan sejenis lagi orkid liar yang saya tidak pasti namanya lagi.

Semasa berkunjung ke nurseri orkid di Mambau, saya tertarik dengan berbagai jenis orkid liar yang ada di situ.

Mengikut kata isteri Encik Richard Tan, tuan punya nurseri itu, ada orkid yang dijual dan ada juga yang tidak dijual kerana mereka masih menjalankan kajian 'orkid kahwin', ertinya mereka membuat orkid hybrid.

Gambar 'Orkid Rimau' di atas, adalah dipercayai sebagai orkid yang terbesar di antara spesis orkid yang wujud.

Orkid Rimau yang bukan hybrid dikatakan berbunga hanya selepas lapan tahun. Ertinya sekiranya kita membeli orkid itu ketika anak kita berumur satu tahun, maka apabila anak kita itu bersekolah dalam darjah dua barulah orkid itu mengeluarkan bunga.

Tetapi Orkid Rimau jenis hybrid pula mengambil masa hanya tiga tahun untuk berbunga.

Semoga kita masih lagi meminati orkid selepas tiga tahun. Kalau tidak, maka tak sempatlah kita melihat Orkid Rimau itu berbunga!

Wednesday, December 05, 2007

Orkid di Mantin



Orkid ini saya ambil gambarnya di sebuah nurseri di Mantin. Saya percaya Alycia tentu tahu tempat ini.

Nurseri agak besar dan terletak di jalan lama antara pekan Mantin menuju ke Seremban. Banyak orkid jenis dendrobium yang ditanam untuk di ekspot bunga serta benihnya.

Sudah lama saya tidak berkunjung ke sini - mungkin hampir dua tahun!

Monday, December 03, 2007

Orkid Liar




Apabila melihat orkid hutan/liar atau nama lain bagi orkid jenis ini ialah orkid bukan hybrid, hanya mereka yang 'fanatik' terhadap orkid liar sahaja yang dapat menilai keseronokannya.

Maklum sahajalah, orkid hybrid tahan lama bunganya, sedangkan orkid bukan hybrid tidak lama bunganya berkembang. Sekejap sangat.

Tapi tanyalah mereka yang sukakan orkid bukan hybrid. Tentu satu hari suntuk dia bercerita tentang orkid hutan, masih lagi dia bercerita, tidak habis-habis....!

Sunday, December 02, 2007

Orkid Butterfly Putih





Sebagaimana yang diwar-warkan oleh Alycia di OAPM,
saya telah berkunjung ke nurseri orkid yag terletak di pinggiran pekan Mambau.

Saya hanya membeli sepasu orkid Butterfly (lihat gambar). Sungguh menarik nurseri ini sekali pandang seperti berselerak dan tidak dijaga. Tetapi apabila saya berhenti dan melihat sekeliling kawasan nurseri barulah nampak berbagai jenis orkid Butterfly yang dijual. Sememangnya orkid ini disemai dari benih yang baik.

Selain itu pihak nurseri juga mempamirkan berbagai jenis orkid liar atau orkid hutan (bukan hybrid), yang paling banyak yang pernah saya lihat di nurseri yang pernah saya kunjungi sejak bergiat dengan 'hobi' ini.

Saya sertakan gambar papan tanda nurseri ini sekiranya ada yang berminat berkunjung ke sana.

Saya akan post lagi beberapa gambar yang saya ambil di sana.