

Setelah menceburi "bidang menggemari orkid" ini selama beberapa bulan, saya boleh menyimpulkan bahawa menjaga orkid ini mudah, tetapi tidak boleh ambil mudah.
"Menceburi bidang ini" yang maksudkan di sini ialah: (1) mengunjungi beberapa pusat jualan orkid; (2) membeli beberapa pasu pokok orkid; (3) menyusun pasu-pasu orkid; (4) menjelajah internet mencari apa jua maklumat mengenai orkid; (5) mengambil gambar orkid; (6) membuat posting di dalam blog saya ini.
Ada maklumat menyebut selain air, baja, cahaya mentari dan suhu, maka satu bahan yang lebih penting lagi bagi pertumbuhan orkid ialah udara. Orkid jenis tumbuhan hutan; ada yang tumbuh di atas tanah dan ada yang menumpang di pohon lain. Bagi yang tumbuh di atas pohon lain, maka sebahagian besar keperluan makanannya ialah yang ada di udara sekeliling.
Maka saya agak bagi penggemar orkid yang tinggal di pangsapuri, rumah pangsa atau pun di kawasan tanah tinggi (macam Ukay Height dan sebagainya...!) amat senang sekali menjaga keperluan elemen udara ini kerana menepati ciri-ciri peng"udara"an yang tepat.
Bila bunga orkid yang baru tumbuh bersaiz lebih kecil daripada semasa kita membelinya, maka kemungkinan besar ada kekurangan di antara elemen-elemen tadi (air, baja, cahaya mentari, suhu dan udara).
Bila bunga mula layu maka elok dipotong bagi menggalakkan pertumbuhan tunas baru. Tapi hati-hati, gunakan gunting atau pemotong yang tajam dan bersih supaya tiada kekotoran atau virus berjangkit kepada pokok orkid itu.
Saya dan isteri saya mula 'jatuh cinta' kepada orkid ini setelah dia mengikut seorang kawannya yang gemar orkid juga, ke sebuah kebun tanaman orkid di Mantin, Negeri Sembilan. Sejak itu kami telah mengunjungi pusat-pusat orkid di Cameron Highlands, Sg Buloh dan juga Taman Orkid Kuala Lumpur.
Saya ada baca mengenai pusat orkid di Ipoh yang mempamir pelbagai jenis orkid. Maka kami berhasrat akan ke sana.
Ada juga maklumat menyebut orkid-orkid di Kuching dan Kota Kinabalu ada lebih banyak jenis daripada Semenanjung, maka itu mungkin dalam perancangan akan datang.
Saya terbaca Thailand merupakan negara pengekspot terbesar di dunia, jadi sudah tentulah orkid-orkid di sana menarik dan cantik-cantik. Tetapi kalau nak buat perjalanan ke sana pun mungkinlah masuk dalam plan fasa kedua atau plan jangka panjang.
Buat masa ini kami akan tumpukan perhatian kepada orkid-orkid di sekitar Lembah Kelang dahulu. Kalau ada rezeki lebih, insya Allah tempat-tempat yang jauh itu pun kita akan jelajahi.
Hanya seorang penggemar orkid akan mengenal seorang penggemar orkid yang lain.