Tuesday, March 24, 2009

Mencari kepuasan ketika menanam orkid merpati



Setiap orang penggemar orkid tentu mempunyai orkid kegemaran masing-masing.

Ada orang sukakan cattleya. Ada juga yang sukakan vanda. Malah ada juga yang hanya gemarkan dendrobium.

Ada pula yang menumpukan perhatian kepada orkid hutan atau orkid liar semata-mata. Mereka tidak gemar dengan orkid hybrid. Apabila ditanya mengapa mereka tidak sukakan orkid hybrid, mereka mungkin menjawab,"Saya sukakan yang original sahaja. Tak mainlah orkid jenis kawin-kawin ni."

Walau apa pun yang digemari, setiap penggemar orkid mempunyai sebab yang tersendiri mengapa mereka sukakan orkid yang mereka suka itu.

Bagi saya pula, semasa mula-mula 'terkena virus gila orkid' beberapa tahun yang lalu saya sangat gemarkan orkid jenis dendrobium. Ini disebabkan kerana bunga orkid dendrobium hybrid memang tahan lama. Seminggu masa berlalu bunganya masih steady lagi. Malah saya pernah terfikir, "Orkid ini bunganya hampir mencapai tahap bunga plastik juga mekarnya...!!"

Tidak berapa lama selepas itu semasa berkunjung ke sebuah nerseri di Subang, saya terpandang orkid jenis cattleya. Mulai hari itu 'cinta orkid' saya berpindah pula pada cattleya. Beberapa pasu orkid cattleya dengan pelbagai warna 'diragut dengan rakus' dari nurseri itu dan saya pulang dengan dompet yang bocor dengan seriusnya. Wah, nampaknya cinta saya sudah benar-benar beralih arah.

Tidak lama selepas peristiwa 'cinta luka' itu, saya dan isteri berkunjung ke Serendah International Orchid Park yang terkenal dengan pelbagai jenis orkid yang segar bugar itu. Sebaik sahaja terpandang orkid yang bergantungan dengan bunga purple itu saya terpegun kerana pokok ini ditanam tanpa media. Saya bertanya kepada pekerja warga Indonesia di situ. "Ini orkid vanda, pak," jawab pekerja itu sambil tersenyum.

Mulai saat itu mulalah saya terpesona dengan 'ayat-ayat cinta' dari orkid yang digelar vanda. Aduhai! Cinta cattleya hilang di ufuk timur, manakala kasih dendrobium pula hilang entah ke mana.

Vanda, aku sayang padamu! Orkid vanda yang kami beli itu rupa-rupanya dari benih yang baik. Tidak putus-putus ia berbunga. Sayangku vanda, kaulah orkid pujaan hatiku.

Sayang seribu kali sayang! Kasih vanda juga tidak kekal lama. Pada suatu senja di kala hujan rintik-rintik aku terpandang rimbunan hijau di dahan pokok di tepi jalan. 'Abang, itulah orkid yang saya cakap tempuh hari," kata isteri saya sambil menuding jari ke arah rimbunan nan hijau itu.

Saya terus memberhentikan kereta dan mengambil beberapa pokok orkid itu, tanpa mempedulikan puluhan kereta yang lalu-lalang sambil pemandunya memandang dengan ekspresi hairan. Memang cinta orkid saya mudah beralih arah. Hati cinta sayang kasih orkid saya sentiasa dilambung gelombang!

Hari ini saya masih bersama orkid liar ini. Mungkin sebenarnya kami sekufu. Atau memang kami satu aliran. Apakan daya-kini bagi saya dendrobium dan cattleya serta vanda sudah jatuh di tempat keempat, ketiga dan kedua.

Orkid merpati masih di sini. Mungkinkah kasih kami akan kekal untuk selama-lamanya?

Hanya masa yang akan menentukannya!

Sunday, March 22, 2009

Orkid ditanam pada kayu




Orkid yang ditanam pada kayu mati akan menghasilkan hiasan yang indah dipandang.

Buat masa ini saya sedang merancang menanam orkid di beberapa batang kayu yang akan saya susun sehingga menghasilkan suatu 'menara orkid' yang belum pernah saya lihat sebelum ini.

Saya percaya ramai penggemar orkid yang tegar pernah memikirkan atau berhasrat membina 'menara orkid' ini.

Monday, March 16, 2009

Taman Orkid Antarabangsa Serendah dalam kenangan



Semasa 'merayau' dalam internet sambil melawat blog rakan-rakan penggemar orkid hari ini saya terbaca berita mengenai Taman Orkid Antarabangsa Serendah telah ditutup.

Berita ini mungkin disambut dengan perasaan sedih oleh bukan sahaja para penggemar orkid tanah air, tetapi juga oleh para pelancung yang ingin melihat orkid di taman ini.

Oleh itu saya siarkan beberapa keping gambar yang sempat saya ambil semasa berkunjung ke sana dua tahun yang lalu.










Wednesday, March 04, 2009

Orkid merpati putih





Setelah membaca entri mengenai orkid ini di blog Kujie, saya merasa teruja kerana di rumah saya pun ada beberapa batang potongan kayu yang saya lekatkan orkid merpati putih ini.

Kebetulan saya baru sahaja mengambil beberapa gambar pada hari bunganya berkembang, malah mungkin berkembang pada hari yang sama orkid Kujie berkembang.

Saya ambil orkid ini dari pokok yang tumbuh di sepanjang jalan masuk ke sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta dari sebatang pokok yang tumbuh di sebuah hopital di Lembah Kelang.

Ada juga yang saya letakkan dalam raga kayu dan raga dawai (yang ini ambil dari dapur-isteri saya sudah tidak mahu guna lagi raga ini, hehehe..) dan semuanya tumbuh setelah saya kerap siram dengan air bercampur baja.