Friday, May 29, 2009

Orkid Merpati lagi

Pengunjung blog ini, Cik Puan Noraini, merupakan salah seorang peminat orkid yang boleh diklasifikasi sebagai tegar. Antara orkid yang beliau minati ialah Orkid Merpati.

Orkid Merpati tidak dijual di mana-mana nurseri yang beliau sering kunjungi. Sebagai peminat orkid yang menyukai Orkid Merpati, sumber yang beliau ada hanyalah blog Penggemar Orkid Malaysia. Lagi pun beberapa entri telah di tulis menceritakan tentang orkid ini.

Beliau meninggalkan pesanan di bahagian komen bagi entri ini, dengan menyertakan nombor telefon beliau (saya tidak siarkan komen beliau itu kerana tidak mahu mendedahkan nombor telefon beliau kepada umum, melainkan dengan keizinan beliau...) untuk saya hubungi.

Setelah menetapkan tarikh untuk bertemu hari ini, beliau datang ke Serdang untuk meminta supaya saya menunjukkan kepada beliau lokasi pokok yang ditumbuhi Orkid Merpati.

Akhirnya beliau mendapatkan beberapa sampel Orkid Merpati untuk beliau bawa pulang. Saya percaya beliau berpuas hati kerana segala usaha beliau akhirnya membuahkan hasil. Beliau telah mendapat keratan Orkid Merpati!

Untuk maklumat bersama, sukacita ditunjukkan di bawah ini beberapa cara menyemai sampel keratan orkid spesis ini.

Pasu plastik diisi dengan tanah dan sekeping papan dan pada papan ini dilekatkan bahagian akar Orkid Merpati. Setelah beberapa lama, Orkid Merpati tumbuh subur.

Raga bawang yang tidak digunakan lagi oleh isteri saya ini telah dilonggokkan dengan keratan Orkid Merpati. Sekarang sudah tumbuh subur, serta paku-pakis pun ada juga tumbuh di raga ini.

Keratan dahan kayu ini dilekatkan dengan lumut jenis moss, lalu dilekatkan dengan keratan Orkid Merpati. Akar orkid menjalar dan mencengkam pada moss dan dahan kayu. Sekarang kelihatan subur tumbuhnya Orkid Merpati ini.

Keratan Orkid Merpati yang dikumpulkan dalam raga plastik ini kurang subur, kerana tiada media yang disediakan.

Ini pula kelihatan keratan Orkid Merpati yang dilekatkan pada serpihan kayu yang dijumpai semasa kami mandi di sebuah sungai. Ia baru mulai belajar tumbuh dan akarnya belum mencengkam lagi.

Friday, May 22, 2009

Orkid Merpati Putih Berbunga

Baru dua hari lepas saya berbicara tentang Orkid Merpati yang saya tunggu-tunngu waktunya berbunga.

Rupa-rupanya hari ini bunga-bunga Orkid Merpati itu berkembang mekar dan memutih.

Indah dan cantik, senang mata memandang. Lihatlah...!



Wednesday, May 20, 2009

Cattleya kecil putih purple



Cattleya ini berbunga lagi. Kecil sahaja bunganya tetapi harum semerbak setelah bunga itu mekar selama beberapa hari.

Sehelai daripada daun kelihatan telah dipotong, kerana telah menjadi hitam akibat penyakit kulat setelah hujan renyai.

Inilah tip yang boleh dikongsi bersama: pertama, apabila hujan turun renyai-renyai, eloklah kita jirus dengan air bersih bagi mengelakkan daunnya menjadi hitam akibat terkena asid atau ditumbuhi kulat; dan kedua sebaik sahaja kelihatan sebahagian daripada daun menjadi hitam akibat serangan penyakit, jangan potong kesemua daun itu, tetapi potong bahagian yang hitam itu, semoga daun itu selamat kelak dan masih boleh berguna meneruskan proses fotosintesis untuk kebaikan orkid itu.

Menanti orkid merpati berbunga



Beberapa unit Orkid Merpati telah saya semai dalam beberapa jenis kontena.

Ada yang dilekatkan pada sepotong kayu dengan moss, manakala kayu itu ditebuk lubang untuk diikat dengan dawai keras.

Ada pula yang diletak dalam pasu plastik yang telah dilekatkan dengan papan, kemudian papan itu dipaku dan ditebuk lubang bagi diletkkan cangkuk dawai juga.

Malah ada juga yang ditanam dalam raga kayu, yang mana raga kayu itu pula saya masukkan ke dalam raga plastik dan digantung dengan cangkuk dawai.

Dalam gambar di atas kelihatan tiga unit orkid merpati yang digantung pada hujung beranda yang dibina khas untuk menggantung beberapa pasu orkid dan langsuyar yang sedia ada.

Kini saya menanti orkid merpati berbunga. Tentunya harum semerbak bunga merpati akan harum semerbak dan putih bersih menghiasi jambangan ini.

Saturday, May 16, 2009

Mengintai langsuyar

Langsuyar ialah tumbuhan dari jenis spesis tidak berbunga, iaitu mengikut klasifikasi sama seperti paku-pakis.

Saya tertarik dengan susunan daunnya yang berlapis-lapis dan apabila tumbuh subur pada pangkal pokoknya terdapat sejenis sponge.

Ketika mula-mula meminati langsuyar dahulu, saya sering singgah memungut tumbuhan ini yang didapati tumbuh meliar di tepi jalan.

Sekarang langsuyar sudah banyak di taman bunga saya. Oleh kerana banyak yang tumbuh di pasu orkid yang bersebelahan dengannya, maka saya pindahkan ke pasunya yang tersendiri.


Langsuyar yang satu ini masih belum lagi dipindahkan ke pasu lain, dan masih menumpang di tepian pasu orkid!

Tuesday, May 05, 2009

Mokara: Mengingati permulaan



Inilah antara orkid pertama yang saya beli semasa memulakan hobi orkid pada tahun 2006.

Saya memulakan 'penggemaran orkid' dengan orkid jenis dendrobium dan mokara. Orkid dendrobium dan mokara ialah antara orkid yang paling robust dan lasak; tidak perlu dimanjakan sangat serta tidak memerlukan perhatian yang berlebihan.

Dendrobium dan mokara sesuai untuk penggemar orkid yang baru merintis denai orkid, kerana pada peringkat awal seseorang itu belum lagi mahir dengan teknik serta taktik menjaga orkid. Boleh ikut kelapangan, hendak jirus boleh jirus dua hari sekali, manakala untuk membajai jauh sekali. Tunggu tenguk bunga sahaja!

Orkid ini kami beli dari sebuah nurseri orkid di Mantin.

Nostalgic juga gambar ini...