Saturday, September 30, 2006

Orkid 'Outing'




Jika sebelum bulan Ramadhan kami selalu keluar menjelajah mencari kedai atau nurseri orkid, di bulan puasa ini kami menumpukan perhatian menjaga pasu-pasu orkid ini agar tidka rosak atau pecah. Kalau ada yang pecah maka hendaklah diganti dengan yang baru.

Semua pokok-pokok orkid ini perlu disiram dua kali sehari.

Letakkan arang dan serpihan batu bata serta sabut kelapa di dalam pasu bagi menjadi makanan kepada orkid-orkid tersebut.

Tetapi kalau hari hujan orkid tidak perlu disiram.

Selepas hari raya nanti kami akan menjelajah semula mencari orkid.

Thursday, September 28, 2006

Bunga orkid yang berbagai rupa dan warna




Sesetengah bunga bunga orkid amat berbeza daripada bunga orkid yang kita biasa lihat dan kenali.

Malah ada pokok orkid yang berbeza sama sekali dengan pokok orkid yang biasa diketahui.

Adakala kita tidak menyangka ianya orkid sehingga melihat bunganya atau sesorang yang memberitahu kita.

Sunday, September 24, 2006

Orkid Dari Negri Sembilan




Orkid-orkid yang didapati di beberapa penjual orkid di Negri Sembilan begitu baik tanamannya dan harganya pula berpatutan.

Sebuah nurseri orkid di Mantin menanam lebih 3,000 pokok orkid untuk jualan. Kebanyakan pokok-pokok orkid itu di ekpot ke Jepun dan Taiwan. Ada juga yang dibekalkan kepada penjual-penjual orkid di dalam negeri.

Manakala sebuah nurseri sederhana yang terletak di Senawang pula menjual orkid di samping pokok-pokok bunga hiasan yang lain. Namun pokok-pokok orkidnya tidak kurang juga dari segi kecantikan dan kesuburannya.

Wednesday, September 20, 2006

Lagi Tentang Orkid Cameron Highlands




Setelah beberapa minggu kembali dari 'melawat orkid' di Cameron Highlands kami dapati orkid liar yang diambil dari lereng bukit itu berbunga.

Warnanya purple itu sunnguh menawan, tapi sayang kembangnya tidak lama. Tak sampai seminggu ia dah layu.

Mungkinkah kerana di lereng bukit Cameron Highlands cuacanya lebih dingin sedangkan di Lembah Kelang pula lebih panas? Atau memang begitu ciri-ciri orkid liar?

Sunday, September 17, 2006

Orkid Di Kaki Bukit Putus




Di dalam perjalanan balik dari berkelah di Ulu Bendul saya dan isteri saya telah singgah di sebuah nurseri orkid yang terletak di kaki Bukit Putus, Negri Sembilan.

Walaupun tidak banyak jenis orkid yang dijual di situ, tetapi orkid-orkid yang ada begitu cantik dan menawan mana-mana penggemar orkid yang baru berjinak-jinak dengan orkid seperti kami.

Ada beberapa pasu besar yang ditanam dengan tiga jenis orkid yang berlainan yang menarik perhatian kami.

Sunnguhpun kami tidak membeli orkid pasu besar tersebut, tetapi ia telah mencetuskan suatu idea untuk kami laksanakan tidak lama lagi di dalam aktiviti orkid kami !

Tuesday, September 12, 2006

Orkid Liar yang Disukai




Saya percaya ramai penggemar orkid lebih sukakan orkid jenis 'kacukan' atau jenis 'hybrid' daripada orkid liar.

Sebab utama ialah orkid hybrid lebih besar saiz bunganya.

Namun ada sejenis orkid liar yang batang dan daunnya kecil sahaja namun saiz bunganya agak besar dan cantik.

Boleh juga kita katakan orkid jenis inilah yang 'ori' punya...!

Monday, September 11, 2006

Orang Perempuan Memang Menggemari Orkid





Saya dapati ramai orang perempuan sukakan orkid.

Ramai kawan-kawan di pejabat dan kawan-kawan isteri saya yang menyukai dan menggemari bunga orkid.

Walau pun selalunya bunga mawar merah yang selalu menjadi hadiah harijadi kepada orang perempuan, tetapi bagi perhiasan di halaman rumah, lebih ramai orang perempuan menggemari orkid daripada bunga mawar.

Mungkin kerana orkid lebih senang dijaga daripada mawar. Dan mungkin juga pokok-pokok orkid lebih senang dijaga daripada pokok-pokok bunga mawar.

Sunday, September 10, 2006

Orkid Liar di Atas Pokok




Semata-mata kerana kesukaan kepada orkid yang membara, saya dan isteri saya meninjau orkid liar yang tumbuh di atas pokok berhampiran rumah rami.

Secara kebetulan pokok-pokok yang "ditumpang" oleh pokok-pokok orkid ialah di kawasan sebuah institusi pengajian awam.

Seronok juga melihat pokok-pokok orkid yang tumbuh subur di atas pokok-pokok di tepi jalan ke institusi tersebut.

Sayang sekali tiada satu pun di antara pokok-pokok ini yang kelihatan berbunga.

Friday, September 08, 2006

Yang Berbintik-Bintik dan Yang Berbelang-Belang




Semasa berkunjung ke kedai-kedai jualan kain di Nilai Square, saya tertarik dengan kata-kata promosi dari salah sebuah kedai di situ.

"Mari, mari, mari! Tuan-tuan dan puan-puan. Kami menjual berbagai-bagai jenis kain. Berbagai-bagai corak ada. Yang berbintik-bintik ada. Yang berbelang-belang pun ada..."

Rupa-rupanya saya mengunjungi pusat jualan orkid di Sg Buloh saya ternampak bunga-bunga orkid yang bercorak "berbintik-bintik" dan yang "berbelang-belang".

Ini membuat saya teringat kepada kata-kata yang saya dengar di Nilai Square itu. Saya tersenyum-senyum bila terkenang perkara ini.

Wednesday, September 06, 2006

Taman Orkid Kuala Lumpur





Bagi penggemar orkid yang tinggal di sekitar Lembah Kelang, tempat yang seronok dilawati ialah Taman Orkid Kuala Lumpur.

Di sana terdapat lebih 800 spesis orkid Malaysia dan banyak lagi orkid dari luar negara.

Ia terletak di dalam kawasan Tasik Perdana, bersebelahan dengan Taman Burung dan bersebelahan juga dengan Taman Bunga Raya.

Bila dah puas melihat bunga-bunga orkid, boleh lah membeli beberapa pasu orkid untuk dibawa pulang.

Tentu seronok membawa pulang beberapa pasu orkid yang berwarna-warni itu.

Tuesday, September 05, 2006

Menjaga Orkid Mudah Tetapi Jangan Ambil Mudah





Setelah menceburi "bidang menggemari orkid" ini selama beberapa bulan, saya boleh menyimpulkan bahawa menjaga orkid ini mudah, tetapi tidak boleh ambil mudah.

"Menceburi bidang ini" yang maksudkan di sini ialah: (1) mengunjungi beberapa pusat jualan orkid; (2) membeli beberapa pasu pokok orkid; (3) menyusun pasu-pasu orkid; (4) menjelajah internet mencari apa jua maklumat mengenai orkid; (5) mengambil gambar orkid; (6) membuat posting di dalam blog saya ini.

Ada maklumat menyebut selain air, baja, cahaya mentari dan suhu, maka satu bahan yang lebih penting lagi bagi pertumbuhan orkid ialah udara. Orkid jenis tumbuhan hutan; ada yang tumbuh di atas tanah dan ada yang menumpang di pohon lain. Bagi yang tumbuh di atas pohon lain, maka sebahagian besar keperluan makanannya ialah yang ada di udara sekeliling.

Maka saya agak bagi penggemar orkid yang tinggal di pangsapuri, rumah pangsa atau pun di kawasan tanah tinggi (macam Ukay Height dan sebagainya...!) amat senang sekali menjaga keperluan elemen udara ini kerana menepati ciri-ciri peng"udara"an yang tepat.

Bila bunga orkid yang baru tumbuh bersaiz lebih kecil daripada semasa kita membelinya, maka kemungkinan besar ada kekurangan di antara elemen-elemen tadi (air, baja, cahaya mentari, suhu dan udara).

Bila bunga mula layu maka elok dipotong bagi menggalakkan pertumbuhan tunas baru. Tapi hati-hati, gunakan gunting atau pemotong yang tajam dan bersih supaya tiada kekotoran atau virus berjangkit kepada pokok orkid itu.

Saya dan isteri saya mula 'jatuh cinta' kepada orkid ini setelah dia mengikut seorang kawannya yang gemar orkid juga, ke sebuah kebun tanaman orkid di Mantin, Negeri Sembilan. Sejak itu kami telah mengunjungi pusat-pusat orkid di Cameron Highlands, Sg Buloh dan juga Taman Orkid Kuala Lumpur.

Saya ada baca mengenai pusat orkid di Ipoh yang mempamir pelbagai jenis orkid. Maka kami berhasrat akan ke sana.

Ada juga maklumat menyebut orkid-orkid di Kuching dan Kota Kinabalu ada lebih banyak jenis daripada Semenanjung, maka itu mungkin dalam perancangan akan datang.

Saya terbaca Thailand merupakan negara pengekspot terbesar di dunia, jadi sudah tentulah orkid-orkid di sana menarik dan cantik-cantik. Tetapi kalau nak buat perjalanan ke sana pun mungkinlah masuk dalam plan fasa kedua atau plan jangka panjang.

Buat masa ini kami akan tumpukan perhatian kepada orkid-orkid di sekitar Lembah Kelang dahulu. Kalau ada rezeki lebih, insya Allah tempat-tempat yang jauh itu pun kita akan jelajahi.

Hanya seorang penggemar orkid akan mengenal seorang penggemar orkid yang lain.

Monday, September 04, 2006

Penjagaan Orkid (2)




Setelah 'menjelajah' di dalam internet mencari maklumat tentang penjagaan orkid, saya temui banyak petua dan petunjuk bagi menjaga orkid.

Oleh kerana banyaknya bahan yang terdapat di dalam internet, maka saya cadangkan pembaca hendaklah terlebih dahulu melayari laman web Jabatan Pertanian yang padat dengan maklumat.

Bagi Bahasa Melayu: http://agrolink.moa.my/doa/bdc/bungaorkid.html
Bagi Bahasa Inggeris: http://agrolink.moa.my/doa/bdc/Orchids.html

Sesungguhnya di laman-laman di atas terdapat maklumat yang mamadai bagi penggemar-penggemar orkid yang baru mula berjinak-jinak dengan hobi orkid ini.

Selamat membaca dan mendapat maklumat.

Bila sudah habis dibaca, maka bolehlah cuba pencarian perkataan "orchids" di dalam ruangan "search" Google....

Sunday, September 03, 2006

Penjagaan Orkid




Seorang pengunjung blog ini telah bertanya tentang orkidnya yang berkemungkinan dijangkiti penyakit apabila daunnya menjadi kekuningan dan ada bintik-bintik hitam, jadi adakah ini kulat?

Susah nak saya ceritakan selain mengaku saya masih baru dalam bidang 'menggemari orkid' ini, tetapi saya cadangkan pembaca berkenaan membaca laman web Jabatan Pertanian di link:

http://agrolink.moa.my/pqnet/kwln/perosak_orkid.htm

Selain itu juga saya ada juga baca bahawa tanaman orkid ini penjagaan tidaklah susah sangat selagi kita menempatkan ia di tempat yang mendapat cahaya mentari yang cukup, juga air, suhu bilik dengan pengaliran udara yang baik.

Juga diberi baja yang secukupnya iaitu baja daun dan baja bunga, maka insya Allah akan elok dan suburlah pokok orkid kita. Orkid jenis tumbuh di tanah perlu di tanam dalam pasu yang diisi dengan tanah yang sesuai.

Manakala yang jenis epiphyte (yang menumpang di pokok lain) perlu ditanam di dalam pasu yang diisi dengan arang, serbuk kayu serta sabut kepala sawit.

Saturday, September 02, 2006

Beli dan beli lagi...




Baru seminggu sekembali dari Cameron Highlands dengan kecederaan poket dan dompet yang serius, saya dan isteri saya masih belum serik lagi.

Kali ini kami menjelajah pula ke beberapa pusat jualan ordkid di Sg Buloh dan yang berhampiran lapangan terbang Subang, tanpa menghiraukan risiko kelukaan akibat "peras-ugut" penjual orkid.

Rupa-rupanya ketagihan orkid memang lebih sukar dirawat daripada kebanyakan keghairahan hobi-hobi lain.

Mungkin juga kerana kekecewaan melihat orkid yang dibeli di Cameron Highlands yang semakin 'layu dan pudar' akibat pertukaran cuaca dari hawa dingin tanah tinggi kepada hawa hangat Lembah Kelang.

Atau memang tiada tertahan terkena "panahan beracun" akibat kecantikan bunga orkid dan keinginan mencapai zauk maksima di dalam mengejar suatu maqam tahap tertinggi di dalam pengembaraan mencari suatu kepuasan yang fana yang bergelar "orkidisme".

Beginilah akibatnya yang terpaksa kami tanggung di hujung program 'orkid outing' kami di petang Sabtu yang syahdu ini...

Friday, September 01, 2006

Orkid yang berbagai rupa




Pokok bunga orkid berbagai rupa.

Kadang-kadang sekiranya kita tidak melihat bunganya, kita tak sangka pokok yang kita lihat itu pokok bunga orkid, kerana rupanya menyerupai pokok lalang.

Ada juga ianya seperti pokok tebrau yang tumbuh liar di kawasan berpaya.

Orkid di tanah dan di atas pokok




Kebanyakan orkid hutan adalah jenis yang 'menumpang' di atas pokok lain. Jenis ini kebanyakannya dipanggil 'epiphyte'.

Tetapi ada juga yang tumbuh di atas tanah, dan yang sebegini disebut 'teresterial'.

Orkid liar yang kami temui di Cameron Highlands adalah yang tumbuh di atas tanah di lereng bukit.